KLUANG – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak sesekali lemah semangat walaupun dimaki dan dicaci sesetengah pihak.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap berkata, semua itu menjadikan azamnya terus kuat untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat di negeri ini.
“Apa yang penting adalah rakyat di negeri ini akan terus disantuni dalam apa juga cara kerana ia adalah satu amanah besar yang telah diberikan kepada saya.
“Di negeri Johor ada cara tersendiri dan perkara penting dalam perjuangan yang perlu didahulukan adalah untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.
Onn Hafiz berkata demikian ketika berucap dalam program menyampaikan geran hak milik kepada 210 peneroka Felda di Dewan Datuk Onn, Rumah Komuniti Sembrong di Taman Sri Lambak, di sini hari ini.
Sehingga hari ini, seramai 27, 639 peneroka Felda di seluruh negeri telah menerima penyerahan geran hak milik.
Sebelum ini, Onn Hafiz mendapat kritikan hebat apabila kenyataan beliau tidak mahu duduk semeja dengan DAP disalah tafsir sebagai sombong dan bersifat perkauman.
Onn Hafiz berkata, selepas ini kerajaan negeri akan terus bangkit dengan jayanya untuk membawa kemajuan yang secara tidak langsung memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini.
“Untuk warga felda, jika saya masih Menteri Besar selepas 11 Julai nanti, semua peneroka akan menjadi anak emas kepada kerajaan negeri,'” katanya.
Justeru beliau memohon semua berdoa Johor terus dirahmati agar rezeki terus melimpah pada masa akan datang.
“Walaupun berhadapan dengan pelbagai sekatan termasuk menggunakan kemudahan di Felda, semua itu ibarat satu cabaran untuk saya meneruskan khidmat kepada rakyat negeri ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















