SHAH ALAM – Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor merupakan langkah intervensi untuk melegakan komuniti, masyarakat dan industri pada waktu krisis.
Ia sekali gus menyambung nyawa dan menyumbang kepada kedudukan ekonomi negeri dan bukan dilaksanakan untuk jangka masa panjang, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau menegaskan, inisiatif tersebut bukan langkah populis dan tidak dilaksanakan untuk memanfaatkan golongan tertentu sahaja, sebaliknya merangkumi semua kumpulan rentan yang terkesan.
“Jika kita tidak melindungi industri melalui pelbagai langkah susulan, kesannya boleh menjejaskan rantaian ekonomi yang lebih luas.
“Kita akan terus berfikir secara menyeluruh. Mengikut kehendak dan keinginan, memang kita mahu membantu sehingga ke sektor logistik termasuk memberikan subsidi diesel sebagai contoh. Namun kemampuan kita agak terhad.
“Oleh itu, tumpuan diberikan kepada kumpulan rentan yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan mengenai pakej tersebut pada Persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Tua berkata, secara keseluruhannya, inisiatif kerajaan negeri itu tidak ditolak, sebaliknya persoalan yang dibangkitkan lebih tertumpu kepada aspek pelaksanaan, keberkesanan serta keupayaan kerajaan negeri memastikan pakej berkenaan mencapai matlamat yang disasarkan.
Beliau juga yakin ia kerajaan negeri itu mampu melaksanakannya.
Sebagai rekod, Selangor memperuntuk RM355.06 juta bagi melaksanakan dua fasa Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor untuk mendepani krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.
Sebanyak RM145.8 juta diperuntukkan bagi melaksanakan tujuh inisiatif dalam fasa pertama.
Manakala baki peruntukan digunakan untuk fasa kedua yang merangkumi 15 inisiatif baharu yang diumumkan pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette
















