KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Mohd Rafii menyelar kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh yang menyamakan kehidupan di Kuala Lumpur ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN) ibarat ‘berada di dalam neraka’.
Mohd Razlan berkata, Hannah dilihat seolah-olah seperti sedang berhalusinasi dan dibayangi rasa iri hati yang keterlaluan terhadap rekod cemerlang BN.
“Kemajuan fizikal dan ekonomi yang dinikmati warga ibu kota hari ini termasuklah mercu tanda ikonik dunia adalah bukti nyata hasil tangan perancangan teliti kerajaan terdahulu, bukannya Pakatan Harapan (PH).
“Adakah kemajuan luar biasa seperti KLCC, TRX, dan terbaharu Menara Merdeka 118 yang dimaksudkan sebagai ‘neraka’ oleh pemimpin PH itu?
“Ia mungkin menjadi ‘neraka’ bagi PH kerana terpaksa menyaksikan BN melakukan pembangunan yang tersusun seperti jaringan LRT dan monorel, selain melihat penduduk bandar raya ini mampu mencari pekerjaan serta peluang perniagaan yang meluas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dakwanya lagi, sejak PH mengambil alih pentadbiran, tiada sebarang projek pembangunan baharu berskala besar yang berjaya dilaksanakan secara mandiri oleh gabungan itu di Kuala Lumpur.
“Perumahan mampu milik yang dibina sewaktu zaman BN kini hanya ‘ditukar baju’ untuk dijadikan modal politik.
“Situasi itu seperti pepatah ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’ apabila perumahan murah yang dibina sewaktu zaman BN kini dirasmikan oleh Menteri PH dan hanya ditukar nama kepada Perumahan Madani,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Razlan turut membangkitkan isu keselamatan bandar raya yang didakwanya semakin membimbangkan di bawah pengurusan kerajaan hari ini dengan membandingkan pengiktirafan ‘Bandar Selamat’ yang pernah diterima Kuala Lumpur sewaktu era BN berbanding laporan tahun 2025 yang mendakwa ibu kota jatuh ke kedudukan ketiga sebagai bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara.
“Bukan itu sahaja, faktor kos sara hidup yang semakin menekan dan sistem percukaian baharu turut memberi kesan langsung kepada sektor perniagaan premium di ibu kota.
“Sejak PH memerintah, jualan di pusat beli-belah utama seperti TRX, Pavilion dan KLCC dilaporkan merosot antara 30 hingga 40 peratus disebabkan sistem percukaian yang tidak disenangi sekali gus menjadikan kehidupan di Kuala Lumpur semakin tertekan dengan kos yang tinggi,” tambahnya.
Kegagalan menguruskan isu-isu itu, dakwa Mohd Razlan, adalah berpunca daripada ketidakstabilan pentadbiran PH sendiri yang sibuk bertukar-tukar Menteri.
“Tindakan melantik sehingga tiga Menteri berbeza yang menjaga Wilayah Persekutuan dalam tempoh tiga tahun dan kegagalan melantik Menteri secara konsisten sebagai petanda ketidakupayaan menjaga kebajikan rakyat.
“Pemikiran Hannah sebagai sesuatu yang membahayakan kelangsungan hidup rakyat di Kuala Lumpur.
“Saya mencadangkan agar jawatan portfolio berkaitan Wilayah Persekutuan itu ditukar lagi buat kali keempat dalam tempoh satu penggal ini.
“Saya rasa simpati terhadap nasib rakyat Malaysia kerana kerajaan hari ini yang sering dikaitkan dengan isu manifesto yang mereka suka berjanji tetapi memungkiri janji,” katanya. – MalaysiaGazette
















