​KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa seperti ada yang tidak kena kepada UMNO Johor selepas melihat senarai calon yang diletakkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.

Sehubungan itu, beliau menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan, satu pengumuman penting akan dibuatnya pada 27 Jun depan.

“Hari ini BN (Barisan Nasional) Johor akan umum senarai calon yang akan bertanding di PRN Johor 2026.

“Perkembangan terkini UMNO Johor merisaukan.

“Saya tidak akan menoleh belakang walaupun saya hanya insan kerdil,” katanya.

Terdahulu, Mohd Puad turut menjelaskan tidak akan mempertahankan kerusi DUN tersebut.

“Saya telah mengumumkan melalui Facebook enam hari lalu bahawa saya tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit kerana faktor usia.

“Saya menegaskan, orang muda terlatih dan berpendidikan semestinya diberi peluang.

“Tetapi tidak diendahkan. Saya melakukan ‘keberanian politik’ untuk meneruskan perjuangan,” tulisnya lagi.

Untuk rekod, hari ini BN akan memgumumkan senarai calon untuk PRN Johor pada jam 2.30 petang di Bangunan UMNO Johor Bahru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 27 Jun ini sebagai hari penamaan calon dan hari mengundi jatuh pada 11 Julai dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast