KUALA LUMPUR – Parti PUTRA mengambil keputusan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha agungnya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, ia diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PUTRA yang bersidang pada 24 Jun lalu.
“Faktor utama yang membawa kepada keputusan tersebut adalah kerana, PUTRA telah menghubungi Pengerusi Perikatan Nasional dan seterusnya mengutus surat menyatakan persetujuan cadangan mengadakan electoral pact atau kerjasama pilihan raya bersama Perikatan Nasional (PN).
“Ini termasuk cadangan untuk bertanding di tiga DUN di Johor yang PUTRA telah kenal pasti namun sehingga 24 Jun 2026, PN tidak memberi sebarang maklum balas terhadap hasrat PUTRA untuk mengadakan electoral pact,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Nasrul Ali Hasan, PUTRA dukacita di atas layanan PN namun tidak berkecil hati.
“Sejak awal PUTRA telah memutuskan persetujuan bekerjasama dengan PN bagi mengelakkan pertembungan kerusi dan perpecahan undi dalam kalangan parti-parti pembangkang.
“PUTRA juga menghargai tawaran mengadakan kerjasama politik daripada parti Bersatu yang juga merupakan anggota PN tetapi PUTRA tidak dapat terima cadangan tersebut kerana kesuntukan masa dan kerusi yang PUTRA kenal pasti berkemungkinan bertindih dengan DUN pilihan Parti Bersatu,” katanya.
PUTRA juga akan meneliti secara menyeluruh keputusan dan pola pengundian PRN Johor sebagai sebahagian daripada proses penilaian strategik parti.
Analisis tersebut akan dijadikan asas pertimbangan bagi menentukan pendekatan apakah PUTRA akan bertanding di PRN Negeri Sembilan di empat DUN yang PUTRA telah kenal pasti melalui electoral pact dengan mana-mana pihak bagi mengelakkan perpecahan undi dari kalangan parti-parti Melayu.
“Pada masa yang sama, fokus utama PUTRA adalah membuat persiapan bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-16 yang akan berlaku tidak lama lagi,’ katanya. – MalaysiaGazette
















