JOHOR BAHRU – Amir Syafiq Ameer hari ini diumumkan sebagai calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengumuman tersebut dilakukan dalam Majlis Pengumuman Calon PSM di Taman Skudai Baru di sini hari ini.
Amir ketika berucap memaklumkan, beliau menjadi calon bukan untuk memberi janji-janji manis tetapi membawa realiti jujur dan satu kritikan berani terhadap kegagalan sistem yang sedang mencengkam negara ini.
“Kita menawarkan jalan keluar yang berpaksikan perjuangan kelas, dan keadilan sosial. Kita sering diberitahu bahawa ekonomi negara sedang memulih, bahawa pelaburan asing sedang masuk mencurah-curah dan projek-projek mega sedang rancak berjalan.
“Namun, persoalan yang gagal dijawab oleh kerajaan ialah mana pergi semua itu kepada rakyat,” soalnya.
Beliau mendakwa, realitinya, jurang kelas antara golongan korporat terkaya dengan majoriti rakyat pekerja semakin luas.
Katanya, dapat dilihat kos sara hidup naik, harga barangan asas tidak lagi masuk akal dan kos mendapatkan perlindungan kesihatan serta perumahan yang semakin mustahil dicapai anak muda.
“Ini bukan satu kebetulan atau bencana alam, ini adalah kesan langsung daripada dasar-dasar ekonomi yang diamalkan oleh kerajaan demi kerajaan sebelum ini, dasar yang mengutamakan keuntungan segelintir kecil pemilik modal iaitu kapitalis berbanding kebajikan majoriti rakyat.
“PSM menegaskan bahawa selagi sistem ekonomi memperlakukan keperluan asas manusia seperti bumbung di atas kepala, ubat-ubatan di hospital dan pendidikan anak-anak sebagai komoditi untuk diperdagangkan dan dikaut keuntungan, selagi itulah rakyat marhaen akan terus ditindas,” katanya.
PSM katanya, menolak budaya politik korporat itu dan tidak berhutang budi dengan mana-mana jutawan, komitmen dan kesetiaan parti tersebut adalah 100 peratus kepada kelas pekerja.
Selama berdekad-dekad katanya, elit politik menggunakan taktik kuno yang paling berkesan untuk mengekalkan kuasa mereka iaitu politik pecah dan perintah.
“Mereka melagalagakan rakyat menggunakan sentimen kaum dan agama. Kenapa mereka lakukan ini? Supaya rakyat tidak sedar bahawa musuh sebenar mereka bukanlah jiran mereka yang berbeza warna kulit atau cara beribadat.
“Musuh sebenar ialah sistem yang membiarkan seorang pemandu lori, seorang pekerja kilang, seorang rider e-hailing dan seorang peniaga kecil-kecilan tanpa mengira kaum terus bekerja keras 14 jam sehari hanya untuk terus hidup, sementara golongan elit mengaut keuntungan bilion ringgit.
“Sudah tiba masanya kita memecahkan tembok perkauman ini. Masalah kita adalah masalah kelas,” katanya.- MalaysiaGazette
















