Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Foto AIZAT ZAINAl, 14 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meluahkan rasa kesal apabila perkara dalaman gabungan tersebut dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat berakhir.

Beliau berkata, PN tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan yang tidak selari dengan pendirian mereka.

“Saya mengambil maklum kenyataan media Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertarikh 23 Jun 2026 berhubung beberapa perkara yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.

“Saya ingin menegaskan bahawa PN adalah sebuah gabungan politik yang bergerak berdasarkan Perlembagaan, disiplin organisasi dan keputusan bersama.

“Setiap parti anggota, termasuk Bersatu mempunyai ruang sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan bantahan dan mempertahankan pendirian masing-masing dalam mesyuarat.

“Namun, disiplin organisasi menuntut semua pihak menghormati keputusan yang telah diputuskan bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu membantah keras tindakan Ahmad Samsuri yang didakwa memaksa Mesyuarat MT PN menerima kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, ini kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa walaupun pelbagai isu perundangan dan pentadbiran masih belum diselesaikan.

Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ahmad Samsuri berkata, proses rundingan kerusi telah selesai secara muafakat melalui mekanisme rasmi PN dan beliau telah menandatangani watikah pelantikan calon-calon yang akan bertanding.

“Penggunaan simbol PN datang bersama tanggungjawab politik.

“Mana-mana parti yang diberikan amanah bertanding menggunakan simbol PN hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan calon, gerak kerja pilihan raya, pengurusan kempen serta prestasi kerusi yang ditandingi,” katanya.

Jelasnya, kini adalah masa untuk semua parti komponen, kepimpinan dan jentera PN memberikan sepenuh tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya demi menawarkan kepimpinan yang berintegriti, dasar yang membela rakyat serta membawa harapan baharu demi kesejahteraan rakyat Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast