KUALA LUMPUR – Malaysia tidak pernah mengiktiraf kerajaan baharu Myanmar yang dibentuk selepas pilihan raya yang diadakan oleh junta tentera pada Disember tahun lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lawatan beliau ke Myanmar pada bulan lalu tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan terhadap kerajaan baharu negara itu.
Menurut beliau, lawatan itu juga sama sekali tidak menjejaskan pendirian Malaysia serta ASEAN berhubung pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC).
“Ingin saya jelaskan di sini bahawa lawatan yang dibuat bukanlah merupakan pengiktirafan terhadap kerajaan baharu Myanmar dan tidak sama sekali menjejaskan pendirian Malaysia dan ASEAN berhubung pelaksanaan 5PC.
“Ia sebenarnya adalah usaha untuk mengekalkan saluran komunikasi dan momentum usaha yang dijalankan sewaktu Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun lepas,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai pendirian semasa dasar luar Malaysia terhadap Kerajaan Myanmar dan sejauh mana kemajuan dalam 5PC diambil kira dalam perumusan dasar luar berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan, lawatan ke Nay Pyi Taw pada 19 Mei lalu diadakan susulan keputusan para pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina pada 8 Mei lalu yang meminta Menteri-Menteri Luar ASEAN mengadakan libat urus secara tidak rasmi dengan Myanmar.
Beliau berkata, dalam lawatan itu, beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Myanmar yang baharu, U Tin Maung Swe bagi menilai perkembangan terkini krisis di negara berkenaan serta menyampaikan pandangan dan hasrat para pemimpin ASEAN.
“Saya turut membangkitkan isu-isu kritikal yang lain seperti pembebasan tahanan politik, penyelesaian lambakan terutamanya pelarian Rohingya khususnya di Malaysia serta pengukuhan kerjasama dalam menangani jenayah kewangan atas talian.
“Saya juga mencadangkan kepada Myanmar penubuhan wilayah autonomi serta pendekatan federalisme yang turut boleh dipertimbangkan oleh Myanmar.
“Myanmar menerima baik cadangan untuk Malaysia terus mengadakan libat urus dengan pemegang taruh Myanmar yang lain.
“Saya juga melihat pihak Myanmar kali ini lebih terbuka dengan cadangan yang diutarakan, jika dibandingkan dengan interaksi kita sebelum ini sewaktu Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun lepas,” katanya. – MalaysiaGazette
















