KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah sebagai bukti berterusannya amalan pendakwaan terpilih terhadap pemimpin pembangkang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memandang serius tindakan mendakwa Exco Kerajaan Negeri Kedah tersebut di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan susulan ucapan yang disampaikan dalam satu program pada 13 Jun lalu.
Menurut beliau, Pas secara konsisten mengecam sebarang bentuk pendakwaan terpilih, lebih-lebih lagi apabila isu yang dibangkitkan oleh Haim Hilman berkaitan akses kepada pendidikan, bidang yang sinonim dengan kepakaran serta penglibatannya sejak sekian lama.
“Trend mendakwa ahli politik pembangkang pada kadar yang segera dan cepat yang berterusan juga menjadi indikator bahawa ia benar-benar merupakan suatu pendakwaan terpilih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Awal hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan kewujudan kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) tanpa melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU).
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila terdapat pemimpin kerajaan yang didakwa lebih lantang menyentuh isu sensitif termasuk melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R), namun tidak berdepan tindakan undang-undang yang sama.
“Amatlah menghairankan ramai ahli politik kerajaan yang lebih lantang menyentuh isu-isu sensitif termasuk 3R serta membuat kenyataan-kenyataan jelek melampau, tidak dikenakan sebarang tindakan,” katanya.
Beliau menegaskan, ucapan Haim Hilman dalam program berkenaan dibuat dalam konteks memberikan teguran dan menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap dasar kerajaan khususnya melibatkan sektor pendidikan tinggi.
Malah, katanya, pandangan yang disampaikan oleh Haim Hilman adalah berasaskan fakta serta tidak bersifat emosional atau bertujuan mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Ucapan Haim dalam program pada 13 Jun 2026 lalu adalah bersifat menegur serta merupakan langkah semak dan imbang terhadap polisi kerajaan, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi pada ketika ini secara berfakta dan tidak emosional,” katanya.
Sehubungan itu, Pas menuntut agar hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati oleh semua pihak serta tidak disekat melalui tindakan yang disifatkan sebagai bermotif politik.
Terdahulu, Haim Hilman ketika berucap dalam Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan di Seremban pada 13 Jun lalu mendakwa wujud kemasukan pelajar ke universiti awam melalui saluran terbuka atau ‘pintu belakang’, iaitu tanpa melalui UPU.
Kenyataan itu mendorong KPT meneliti tindakan undang-undang, selain mencetuskan pelbagai reaksi.
Haim Hilman bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dengan menyatakan isu yang dibangkitkan bukan bertujuan menyerang universiti awam, sebaliknya menyentuh soal ketelusan dan keadilan akses pendidikan tinggi, khususnya melibatkan pelajar daripada keluarga B40 dan M40. – MalaysiaGazette
















