KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa Perikatan Nasional (PN) lewat memulakan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk rundingan kerusi dan pembentukan kerjasama pilihan raya.
Menurut beliau, mesyuarat persiapan sepatutnya diadakan lebih awal bagi memastikan jentera dan strategi gabungan itu dapat digerakkan dengan lebih tersusun menjelang pilihan raya.
“Persiapan PN untuk PRN Johor agak lambat. Sepatutnya mesyuarat persiapan, rundingan kerusi dan ‘electoral pact’ perlu dibuat jauh lebih awal.
“Sebaiknya selepas DUN bubar sudah dipanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi PN dan selepas itu mesyuarat-mesyuarat susulan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tun Faisal turut menggesa agar urusan berkaitan PRN Negeri Sembilan disegerakan termasuk pelantikan Pengerusi PN negeri itu bagi memperkukuhkan persiapan menghadapi pilihan raya.
Katanya, panggilan mesyuarat berkaitan perlu dibuat segera supaya segala urusan organisasi dan strategi pilihan raya dapat diselaraskan lebih awal.
Dalam pada itu, beliau berpandangan adalah logik sekiranya Bersatu diberikan lebih banyak kerusi untuk ditandingi pada PRN Johor memandangkan negeri berkenaan bukan kubu tradisi PAS seperti Kelantan atau Terengganu.
“Logik jika Bersatu bertanding lebih banyak kerusi kerana ini PRN Johor, bukan Kelantan atau Terengganu.
“Ini lebih baik daripada langsung tidak menyertai PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya.
Kenyataan itu dilihat memberi bayangan mengenai perbincangan pembahagian kerusi dalam PN yang masih menjadi perhatian menjelang PRN Johor, khususnya melibatkan peranan Bersatu sebagai parti terbesar dalam gabungan tersebut.
Untuk rekod, PN selesai membuat rundingan kerusi bagi PRN Johor semalam iaitu dua hari sebelum proses penamaan calon mengambil tempat Sabtu ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semalam berkata Bersatu akan bertanding lebih banyak kerusi pada PRN Johor.
Beliau turut mengesahkan semua calon dari parti komponen akan bertanding menggunakan logo PN. – MalaysiaGazette
















