KUALA LUMPUR – Pengeluar pesawat ringan berskala penuh tempatan, Aeronas Aerocraft Sdn Bhd berjaya memperoleh tempahan terkumpul sebanyak 50 unit pesawat ringan bernilai AS$85 juta (RM357 juta) daripada syarikat berpangkalan di Hong Kong.
Di bawah persefahaman yang dimeterai bersama Konsortium Wholechoice dari Hong Kong itu, sebanyak 30 pesawat model MYPX5 MARK I dan MYPX5 MARK II berkapasiti enam tempat duduk disahkan untuk dibeli.
Manakala tambahan 20 unit lagi dijangka dimuktamadkan menjelang September tahun ini.
Penghantaran pertama sebanyak 15 pesawat dijadualkan bermula secara berperingkat pada suku pertama dan kedua tahun 2027 bagi menyokong pembangunan operasi sekolah penerbangan dan pajakan pesawat Konsortium Wholechoice di rantau Asia.
Perjanjian tersebut turut menyaksikan pelantikan Wholechoice sebagai pengedar serantau pertama bagi pesawat keluaran Aeronas, sekali gus membuka peluang kepada syarikat Malaysia itu memperluaskan pasaran ke negara-negara lain di rantau Asia Pasifik.
Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata,pencapaian tersebut bukan sekadar kejayaan komersial buat syarikat berstatus Bumiputera, malah menjadi bukti bahawa Malaysia kini mempunyai keupayaan untuk membangunkan, menghasilkan dan memasarkan pesawat sendiri yang mampu menarik keyakinan pembeli luar negara.
Tambahnya, Malaysia selama ini lebih dikenali sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) serta pengeluar komponen aeroangkasa untuk syarikat antarabangsa.
Namun menerusi Aeronas, negara kini mula membuktikan kemampuannya menghasilkan pesawat lengkap yang boleh dijual dan diterbangkan ke pasaran global.
Diasaskan pada tahun 2023 dan berpangkalan di Johor, Aeronas memperoleh teknologi serta hak berkaitan program pesawat melalui pengambilalihan strategik daripada MAEL Aircraft Corporation yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) sebelum membawa pembangunan, pengeluaran dan pengkomersialannya ke Malaysia.
Lebih membanggakan, syarikat itu mewujudkan lebih 450 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang diterajui sepenuhnya oleh tenaga tempatan termasuk Ketua Jurutera Elektrik dan Struktur, Faiz Zainal serta Ketua Jurutera Avionik dan Komponen, Rais Rosli.
Pengarah Urusan merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Aeronas Aerocraft, Raja Shahzreen Petra Raja Azman Shah Petra berkata, keputusan mengambil alih program tersebut dibuat bagi mempercepatkan pembangunan industri pembuatan pesawat tempatan.
“Kalau kita mahu membangunkan pesawat dari kosong, mungkin kita perlu menunggu 10 hingga 15 tahun lagi serta menanggung kos pembangunan bernilai ratusan juta dolar.
“Dengan memperoleh program yang telah diperakui, Malaysia dapat melangkah lebih pantas dan terus memberi tumpuan kepada pengeluaran, pekerjaan berkemahiran tinggi serta pembangunan industri aeroangkasa negara,” katanya.
Program pesawat yang dibangunkan Aeronas adalah berasaskan platform pesawat yang mempunyai Pensijilan Type Certificate Part 23 yang dikeluarkan oleh Federal Aviation Administration (FAA), Amerika Syarikat iaitu antara piawaian keselamatan dan pensijilan paling berprestij dalam industri penerbangan awam dunia bagi kategori pesawat ringan. -MalaysiaGazette
















