TANGKAK – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman menjadi calon tunggal parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.
Pengumuman pencalonan Suraya dibuat Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam Majlis Perasmian Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon N.09 Gambir di Kampung Simpang Lima Pekan, Bukit Gambir di sini malam tadi.
“Saya memperkenalkan calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2026 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir iaitu Suraya Sulaiman.
“Saya memohon kerjasama erat jentera Pejuang dan jentera-jentera komponen PN khususnya di kawasan tersebut untuk kita bergerak bersama-sama untuk menambat hati pengundi,” katanya menerusi sidang akhbar selepas pengumuman itu.
Tambah Mukhriz, tidak mustahil untuk PN diberikan mandat secara oleh rakyat Johor pada PRN Johor, 11 Julai ini untuk gabungan tersebut menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.
“Itu bukanlah satu perkara yang mustahil, tetapi kita mesti bekerja keras untuk mencapai matlamat tersebut,” katanya.
Suraya, yang juga anak jati Gersik di sini merupakan usahawan dalam bidang kesihatan dan kecantikan serta aktif dalam kepimpinan politik dan badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau turut berpengalaman memperkasa komuniti wanita, belia dan institusi keluarga menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), kepimpinan akar umbi serta advokasi politik.
Sebelum menyertai Pejuang pada 2021, Suraya pernah menganggotai UMNO dan memegang jawatan sebagai Ketua Puteri Cawangan Sawah Ring.
Kini beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai Exco Pejuanita Malaysia serta Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pejuang Johor.- MalaysiaGazette
















