MUAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar beri jaminan tidak akan berlaku pertembungan kerusi antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, ia kerana kedua-dua parti bertanding di kerusi yang berbeza dan Pas serta Bersatu menggunakan logo PN.
“Pas pun guna logo PN begitu juga Bersatu, tak ada yang confuse sebab Pas tak berlawan Bersatu dalam kerusi PN, tak ada clash,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Calon Pas Yang Mewakili Perikatan Nasional Bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Laman Muafakat di sini malam tadi.
Sementara itu, beliau berkata, Pas terbuka menerima sesiapa sahaja termasuk bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi sekiranya mahu menyertai parti berkenaan.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, parti tersebut mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu menyertai Pas dan terpulang kepada individu berkenaan.
“Sama ada mereka ingin menyertai atau membuat pertimbangan yang berbeza. Jadi, pintu Pas sentiasa terbuka kepada mana-mana individu,” katanya.- MalaysiaGazette
















