KULAI – Barisan Nasional (BN) Johor tidak menjanjikan perkara-perkara yang tidak realistik untuk rakyat agar memilih BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon Barisan Nasional (BN), R K Kumaran, 56, berkata, sebaliknya janji-janji yang diberikan adalah perkara yang boleh ditunaikan dan buktinya boleh dinilai dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.
“Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak menjanjikan perkara yang bukan-bukan, dia buat janji yang boleh kita capai. Kita tak mahu janji itu ini tetapi tidak boleh capai, rakyat akan marah.
“Kita tengok dulu dan sekarang. Empat tahun dahulu (Pakatan Harapan) buat janji tapi selepas empat tahun (jadi wakil rakyat) tiada janji pun yang dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikan kepada pemberita ketika ditemui selepas proses penamaan calon selesai di Pusat Penamaan Calon Bagi N.51 DUN Bukit Batu di Dewan Serbaguna Taman Putri di sini hari ini.
Kumaran akan bertemu calon PH, Arthur Chiong Sen Sern, 36; calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), M Premanand, 53, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), G Tamili, 30, dan calon Bebas, Datuk Kamaruzaman Ali, 63.
Menurut beliau, ini berbeza dengan BN apabila dalam tempoh empat tahun ini boleh dilihat apa yang sudah dilakukan terutama berjaya menarik pelaburan sehingga RM110 bilion.
Katanya, Johor juga mempunyai pentadbiran yang baik bawah Onn Hafiz da. pelabur berlumba-lumba mahu melabur do Johor khususnya berminat dengan Kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Dalam pada itu, sekiranya diberi mandat beliau akan membawa suara rakyat ke peringkat lebih tinggi dan memastikan masalah mereka diselesaikan.
Pada PRN Johor yang lalu, Arthur Chiong menang dengan majoriti tipis iaitu 137 undi selepas mendapat keseluruhan 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Batu.
Beliau menewaskan S Suppayah (BN) ya mendapat 9,302 undi; Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) 4,334 undi dan Lee Ming Wen (Parti Warisan) 1,053 undi.
Susulan itu, MIC yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu menuntut SPR mengira semula kertas undi kerusi DUN Bukit Batu.
Suppayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat mahukan pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak dan mendakwa berlaku ketirisan, ketika proses pengiraan undi.
Beliau juga mendakwa permintaannya untuk mengira semula undi di beberapa pusat pengundian ditolak oleh pegawai SPR dan penolakan permintaannya itu tidak mematuhi undang-undang kecil pilihan raya.
Suppayah kemudian membuat laporan polis sebelum mengemuka petisyen pilihan raya.
Mahkamah pilihan raya pada 29 Jun 2022 memutuskan kemenangan Arthur Chiong Sen Sern pada PRN Johor, bagi kerusi DUN Bukit Batu Mac lalu adalah sah.- MalaysiaGazette
















