JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Fuad menjadikan agenda pendidikan dan pembangunan anak muda sebagai fokus utama kempen beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Beliau berkata, sebagai calon muda, beliau mahu membawa pendekatan baharu yang lebih dekat dengan keperluan penduduk, khususnya dalam memperkasa peluang pendidikan, kemahiran dan masa depan golongan belia di kawasan itu.

“Walaupun ini kali pertama saya bertanding, saya melihatnya sebagai satu pengalaman yang sangat bermakna.

“Kami mahu menawarkan idea, pandangan dan khidmat terbaik kepada rakyat, terutama dalam isu pendidikan dan anak muda.

“Kami orang muda, jadi kami akan bekerja lebih kuat, lebih gigih, mendengar segala aduan dan luahan rakyat serta berusaha menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas proses penamaan calon di Dewan Cahaya TNB Kempas, di sini, hari ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi N.47 Kempas, Muhammad Faezuddjn Mohd Fuad bersama dua pencabarnya, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlee Bohani dan calon Parti Bersama Malaysia (PBM), Salamahafifi Mohd Yusnaieny selepas proses penamaan calon di Dewan Cahaya Kempas, Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu proses penamaan calon kerusi N.47 Kempas hari ini menyaksikan persaingan tiga penjuru antara parti penyandang, Barisan Nasional (BN) dengan dua pencabarnya, iaitu PH dan Parti Bersama Malaysia (PBM).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dicabar dua anak muda, Faezuddin dan Salamahafifi Mohd Yusnaieny masing-masing mewakili PH dan PBM.

Dalam pada itu, Faezuddin berkata, sebagai kawasan padat penduduk, Kempas memerlukan perhatian serius terhadap isu pendidikan, peluang latihan kemahiran dan pembangunan modal insan supaya anak muda tidak tercicir daripada arus kemajuan.

“Saya mahu melihat lebih ramai anak muda dan penduduk Kempas mendapat peluang pendidikan sama ada dalam bidang akademik, kemahiran atau agama.

“Saya percaya pendidikan ialah kunci untuk mengubah kehidupan rakyat,” katanya.

Selain itu, Faezuddin berkata, peluang pekerjaan, kos sara hidup, akses kepada latihan kemahiran serta ruang untuk mereka menyuarakan pandangan dan terlibat dalam pembangunan setempat perlu diberi perhatian.

“Anak muda di Kempas perlukan peluang, bukan sekadar perhatian bermusim. Kita mahu pastikan suara mereka didengar dan keperluan mereka diberi keutamaan,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan beberapa tinjauan yang didakwa menunjukkan sokongan positif terhadap PH di kawasan itu, Faezuddin berkata, perkembangan tersebut tidak akan menyebabkan beliau terlalu yakin, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja lebih keras.

“Sudah tentu ia memberi impak, tetapi saya mengambilnya sebagai motivasi untuk bekerja lebih kuat. Ia bukan sesuatu yang membuatkan kita terlalu yakin sehingga leka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pertandingan di Kempas perlu dihormati walaupun berdepan dua pencabar lain dan tidak memandang rendah kemampuan mana-mana lawan.

“Kita tidak boleh memandang rendah mana-mana calon. Sebab itu kita akan terus bekerja lebih keras dan bertemu seramai mungkin pengundi untuk menawarkan khidmat serta idea kita,” katanya.

Mengulas mengenai pertandingan yang menyaksikan BN bertanding secara solo, beliau berkata, keputusan tersebut bukan ditentukan oleh PH dan parti itu bersedia menghadapi apa jua bentuk persaingan.

“Siapa yang bertanding bukan pilihan kita, itu pilihan mereka.

“Apabila gelanggang sudah dibuka, kita akan bertanding secara sihat dan mendapatkan sokongan padu daripada rakyat untuk melaksanakan agenda yang telah dirancang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast