BUKIT GAMBIR – Kemenangan selesa calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu bukan jaminan kemenangan serupa pada PRN kali ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, dinamika politik sentiasa berubah, justeru mengingatkan seluruh jentera BN supaya tidak terlalu selesa atau leka.
Sebaliknya, ujar beliau, jentera BN perlu terus turun padang, mendengar keluhan rakyat, menyelesaikan isu rakyat dengan bekerja bersungguh-sungguh dan meraih sokongan dengan merendah diri.
“Pastikan perpaduan dan kesepakatan jentera dikekalkan dan dimantapkan kerana akhirnya, mandat dan keputusan tetap berada di tangan pengundi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri ditemui selepas mengiringi calon BN bagi kerusi DUN Gambir, Sahrihan Jani pada majlis penamaan calon sempena PRN Johor ke-16 di Dewan Serbaguna Grisek, di sini.

Pada PRN Johor lalu, Sahrihan memenangi kerusi DUN Gambir dengan majoriti selesa 3,088 undi, selepas memperoleh 7,960 undi dalam persaingan empat penjuru.
Beliau menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Na’im Jusri yang mendapat 4,509 undi; Mohd Solihan Badri (PN-4,814 undi) dan Suraya (Pejuang-220 undi).
Pada PRN Johor kali ini, Sahrihan akan cuba mempertahankan kerusinya itu dalam persaingan tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Nor Mohd Yusof dan calon Perikatan Nasional (PN), Suraya Sulaiman.
Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, BN meletakkan harapan tinggi kepada Sahrihan untuk mempertahankan kerusi tersebut pada PRN kali ini.
Menurutnya, Sahrihan merupakan seorang calon yang berwibawa, memahami denyut nadi rakyat setempat dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Beliau turut melahirkan keyakinan dengan sokongan jentera serta pengalaman yang dimiliki, Sahrihan mampu untuk terus membawa suara rakyat Gambir dengan berkesan dan meneruskan agenda pembangunan di kawasan tersebut.
“Kerana itu, saya harap pengundi di Kawasan DUN Gambir memberikan sokongan kepada calon BN,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berharap pengundi juga menilai calon berdasarkan parti yang diwakilinya.
“Sahrihan mewakili BN iaitu parti yang terbukti mempunyai keupayaan mentadbir dan memajukan Johor melalui perancangan Maju Johor di bawah pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, tokoh muda yang diyakini terus mampu memimpin negeri Johor.
“Yakinlah kerana tekad BN ialah melaksanakan agenda Maju Johor dengan terus mengekalkan kestabilan dan kemajuan diteruskan untuk rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















