Calon Pakatan Harapan, Mohd Nor Mohd Yusof diiringi Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berarak bersama penyokong bagi penyerahan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 Dun N.09 Bukit Gambir ketika di Dewan Serbaguna Grisek, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 27 JUN 2026.

BUKIT GAMBIR – Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof merayu pengundi di kawasan itu memberi peluang kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Mohd Nor, 49, yang juga Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ledang berkata, meskipun tidak pernah bergelar wakil rakyat, namun beliau bukan asing dalam kerja-kerja kebajikan dan menyantuni rakyat khususnya di kawasan Gambir.

Menurutnya, sejak lebih tiga tahun lalu, beliau telah turun padang menyelesaikan pelbagai masalah rakyat sewaktu berkhidmat dalam Biro Agama dan Biro Kebajikan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ledang.

Calon Pakatan Harapan, Mohd Nor Mohd Yusof diiringi Pengerusi PKR Johor hadir bagi penyerahan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 Dun N.09 Bukit Gambir ketika di Dewan Serbaguna Grisek, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 27 JUN 2026.

“Walaupun saya tiada pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), namun saya sudah memasuki banyak kawasan dan kampung khususnya di bawah Parlimen Ledang sejak lebih tiga tahun lepas.

“Jadi saya tahu apa masalah dan keperluan yang boleh dibantu penduduk di kawasan ini dan jika diberi peluang sebagai ADUN, pastinya lebih banyak dapat saya lakukan kepada penduduk khususnya di DUN Gambir ini,” katanya.

Beliau ditemui MalaysiaGazette selepas proses penamaan calon bagi DUN Gambir sempena PRN Johor ke-16 di di Dewan Serbaguna Grisek, di sini pagi ini.

Pada PRN Johor kali ini, Mohd Nor akan bersaing dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang, Sahrihan Jani dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Suraya Sulaiman yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Calon Pakatan Harapan, Mohd Nor Mohd Yusof (tengah) bergambar bersama calon Barisan Nasional, Sahrihan Jani (kanan) serta calon Perikatan Nasional, Suraya Sulaiman selepas selesai penyerahan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 Dun N.09 Bukit Gambir ketika di Dewan Serbaguna Grisek, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 27 JUN 2026.

Sementara itu, ditanya berkenaan peluangnya memandangkan akan berdepan penyandang kerusi itu, Mohd Nor berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pengundi di DUN Gambir untuk memilih wakil rakyat terbaik.

“Sebenarnya ramai penduduk di sini sudah pun mengenali saya sebab saya telah berkhidmat untuk mereka sebelum ini meskipun bukan sebagai wakil rakyat.

“Sebab itu saya memohon pengundi di sini beri saya peluang kali ini, sekiranya amanah itu saya dapat, saya akan lakukan yang terbaik untuk membantu lebih ramai lagi penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan pemilihan Mohd Nor sebagai calon PH di kerusi DUN Gambir sebagai pilihan tepat, sekali gus menyeru pengundi di kawasan itu tidak mensia-siakan peluang mendapat wakil rakyat berkualiti.

Menurutnya, sejak berkhidmat bersamanya di Pusat Khidmat Parlimen Ledang, Mohd Nor banyak mempermudahkan urusan kebajikan rakyat khususnya dalam mendapatkan bantuan yang disediakan agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); PERKESO; baitulmal dan banyak lagi.

“Beliau juga seorang yang mudah didampingi dan bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat pelbagai kaum,” katanya yang mengiringi Mohd Nor pada penamaan calon hari ini.

Pada PRN Johor lalu, Sahrihan memenangi kerusi DUN Gambir dengan majoriti 3,088 undi selepas memperoleh 7,960 undi dalam persaingan empat penjuru.

Beliau menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Na’im Jusri yang mendapat 4,509 undi; Mohd Solihan Badri (PN-4,814 undi) dan Suraya (Pejuang-220 undi).  – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast