KULAI – Pakatan Harapan (PH) Johor dijangka melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lebih ringkas, realistik dan praktikal berbanding pendekatan terdahulu, kata Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR berkata, draf akhir manifesto itu sudah diteliti dan dijangka dimuktamadkan pada Isnin ini.
“Saya dah teliti draf akhir. Masih ada penambahbaikan dan akan dimuktamadkan dalam beberapa hari ini.
“Saya dengan Datuk Seri Amirudin Shari (Naib Presiden PKR) sudah bersama sejak 1999, 2004, 2008, 2013, 2018, 2022 dan sekarang. Pengalaman itu banyak mengajar kami dalam menyediakan manifesto,” katanya pada sidang media di sini petang ini.
Menurut Saifuddin, pengalaman beberapa pilihan raya lalu turut mengubah pendekatan PH dalam merangka manifesto supaya lebih dekat dengan realiti kehidupan rakyat.
Ujarnya, jika sebelum ini manifesto PH terlalu idealistik sehingga merangkumi pelbagai perkara dalam dokumen yang tebal, kali ini ia disusun secara lebih mudah, jelas dan mampu dilaksanakan.
“Dulu kami terlalu idealis dalam menyediakan manifesto sehingga kadang-kadang mencecah ratusan muka surat dan cuba merangkumi pelbagai perkara.
“Tetapi lama-kelamaan kami belajar daripada kelemahan itu dan menjadi lebih realistik serta praktikal. Manifesto biarlah sesuatu yang rakyat boleh faham, boleh kaitkan dengan kehidupan mereka dan disampaikan dalam bahasa yang mudah,” jelas beliau lagi.
Mengulas kandungan manifesto itu, Saifuddin berkata, ia akan merangkumi aspek kestabilan ekonomi, kebajikan rakyat, kestabilan politik, tadbir urus yang baik serta usaha meningkatkan hasil negeri.
Beliau berkata, manifesto itu turut memberi penekanan kepada pengagihan hasil negeri secara adil kepada rakyat selain mengangkat budaya politik yang berteraskan prestasi.
“Manifesto ini mencakupi semua perkara, daripada kestabilan dan kemakmuran ekonomi, kebajikan rakyat, kestabilan politik, tadbir urus yang baik, meningkatkan hasil negeri serta menjamin pengagihan yang adil kepada rakyat.
“Kita juga mahu mewujudkan politik yang berasaskan prestasi dan mengelakkan politik identiti kerana politik identiti tidak ada pemenang. Sebaliknya, ia hanya menimbulkan ketegangan dan saling tidak percaya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lebih banyak kandungan manifesto itu sebelum ia dilancarkan secara rasmi.
“Itu baru sedikit gambaran. Saya tak mahu bercakap lebih kerana nanti semuanya bocor. Apa yang pasti, manifesto ini disampaikan dalam gaya yang lebih ringkas tetapi tidak berkompromi daripada segi tawaran kepada rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.
















