KULAI – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu yang merupakan antara ‘kerusi panas’ menyaksikan pertandingan lima penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Perkara berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya N51 Bukit Batu, Mohd Hafiz Aliman sejurus proses penamaan calon selesai di pekarangan Dewan Serbaguna Taman Putri di sini hari ini.
PRN Johor kali ini menyaksikan pertandingan antara calon Pakatan Harapan (PH), Arthur Chiong Sen Sern, 36; calon Barisan Nasional (BN), R K Kumaran, 56; calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), M Premanand, 53, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), G Tamili, 30, dan calon Bebas, Datuk Kamaruzaman Ali, 63.
Pada PRN Johor yang lalu, Arthur Chiong menang dengan majoriti tipis iaitu 137 undi selepas mendapat keseluruhan 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Batu.
Beliau yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kulai menewaskan Datuk S Suppayah (Barisan Nasional) 9,302 undi; Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) 4,334 undi dan Lee Ming Wen (Parti Warisan) 1,053 undi.
Susulan itu, MIC yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu menuntut SPR mengira semula kertas undi kerusi DUN Bukit Batu.
Suppayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat mahukan pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak dan mendakwa berlaku ketirisan, ketika proses pengiraan undi.
Beliau juga mendakwa permintaannya untuk mengira semula undi di beberapa pusat pengundian ditolak oleh pegawai SPR dan penolakan permintaannya itu tidak mematuhi undang-undang kecil pilihan raya.
Suppayah kemudian membuat laporan polis sebelum mengemuka petisyen pilihan raya.
Mahkamah pilihan raya pada 29 Jun 2022 memutuskan kemenangan Arthur Chiong Sen Sern pada PRN Johor, bagi kerusi DUN Bukit Batu Mac lalu adalah sah.- MalaysiaGazette
















