LAYANG-LAYANG – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.27 Layang-Layang menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN- Bersatu).
Pegawai Pengurus DUN N27 Layang-Layang Mohamed Azahari Mohamed Rawi ketika mengumumkan calon berkata, kesemua tiga calon menepati semua yang dikehendaki setelah borang mereka selesai dinilai.
Dalam saingan itu, PH mempertaruhkan Guna Balakrishnan.
Guna Balakrishnan bakal bersaing dengan penyandang terdahulu, Abd Mutalip Abd Rahim yang mewakili Perikatan Nasional (PN-Bersatu) dan calon BN, Chua Jian Boon.
Kawasan separa luar bandar yang terletak di bawah Parlimen P.151 Simpang Renggam ini merekodkan jumlah keseluruhan 25,181 pengundi berdaftar, mengikut data wartaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat Mei 2026.
Komposisi dinamik pemilih di DUN ini merangkumi 55 peratus pengundi Melayu, 30 peratus Cina, 13 peratus India dan selebihnya adalah lain-lain kaum, meletakkan sokongan rentas etnik sebagai kunci utama kemenangan bagi mana-mana calon.
Dengan pengisytiharan rasmi daripada Pegawai Pengurus Pilihan Raya hari ini, tempoh berkempen bagi kesemua calon bermula serta-merta selama 14 hari sehingga jam 11.59 malam pada 10 Julai.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 11 Julai 2026, manakala tarikh pengundian awal berlangsung pada 7 Julai 2026. – MalaysiaGazette
















