PARIT SULONG – Pakatan Harapan (PH) yakin pengalaman luas dimiliki calonnya, Khuzzan Abu Bakar mampu menjadi kelebihan utama untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Mohd Khuzzan bukan sahaja pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), malah turut memegang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, sekali gus, memiliki rekod pentadbiran yang boleh diyakini pengundi.
Menurut beliau, pengumuman rasmi Pegawai Pengurus Pilihan Raya hari ini menyaksikan DUN Semerah menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
“Saya sangat gembira dan berbangga dapat bersama memberikan sokongan kepada calon PH bagi N17 Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar.
“Kita percaya semua calon akan berkempen secara sihat dan berasaskan fakta. Mohd Khuzzan mempunyai pengalaman yang baik dan luas hasil perkhidmatannya sebelum ini.
“Pengalaman tersebut sudah pasti akan ditampilkan kepada warga Semerah dan para pengundi sepanjang tempoh kempen,” katanya pada sidang media selepas pengumuman calon di pusat penamaan calon DUN Semerah, di sini, hari ini.
Fahmi berkata, PH menawarkan calon yang berwibawa dan berpengalaman bagi membawa aspirasi rakyat serta memperjuangkan kepentingan penduduk di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Mohd Khuzzan yang diumumkan sebagai calon nombor tiga berkata, beliau komited memanfaatkan pengalaman sebagai bekas ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Johor untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Semerah.
“Alhamdulillah, proses penamaan calon telah selesai dan saya kini calon nombor tiga bagi PRN DUN Semerah.
“Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik kepada seluruh masyarakat di Semerah dan mengetengahkan segala usaha serta pencapaian yang pernah dilaksanakan ketika menjadi ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2018 hingga 2022,” katanya.
Beliau turut menegaskan, amanah yang diberikan parti akan digalas sebaik mungkin sepanjang tempoh kempen dan sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada hari pengundian nanti.
Untuk rekod, DUN Semerah sebelum ini disandang calon Barisan Nasional (BN), Mohd Fared Khalid. – MalaysiaGazette
















