JOHOR BAHRU – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N47 Kempas daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlee Bohani bertekad meneruskan agenda pembangunan kawasan itu dengan memberi tumpuan kepada isu perumahan sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ramlee yang bakal mempertahankan kerusi berkenaan dalam saingan tiga penjuru berkata, beliau bersyukur proses penamaan calon berjalan lancar dan menghargai kepercayaan pucuk pimpinan BN yang sekali lagi mencalonkannya di DUN Kempas.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerana terus memberikan kepercayaan kepada saya untuk mewakili BN di Kempas.
“Saya juga berterima kasih kepada seluruh penduduk Kempas atas sokongan yang diberikan sehingga saya sekali lagi diberi peluang untuk berkhidmat di kawasan ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas proses penamaan calon di Dewan Cahaya TNB Kempas, di sini, hari ini.
Menurut beliau, antara keutamaan yang akan terus diperjuangkan ialah penyediaan lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
“Kempas semakin berkembang dan keperluan terhadap perumahan juga semakin meningkat.
“Kita mahu memastikan kerajaan dapat merancang penyediaan rumah yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat di kawasan ini dan perkara itu akan terus saya perjuangkan,” katanya.

Sementara itu, calon Parti Bersama Malaysia (PBM), Salamahafifi Mohd Yusnaieny menyifatkan pertandingan tiga penjuru yang turut melibatkan dua parti besar sebagai satu pengalaman baharu yang mencabar, namun diterimanya dengan penuh positif.
Beliau yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya berkata, fokus utamanya bukan untuk membuat janji secara terburu-buru, sebaliknya mahu turun padang terlebih dahulu bagi memahami keperluan sebenar penduduk Kempas.
“Saya tidak mahu menawarkan pelbagai janji tanpa benar-benar memahami masalah yang dihadapi rakyat.
“Saya mahu bertemu penduduk, mendengar sendiri pandangan mereka dan memahami isu yang perlu diberikan keutamaan sebelum mengemukakan penyelesaian,” katanya.
Salamahafifi berkata, beliau mempunyai hubungan rapat dengan kawasan Kempas selepas berkahwin dengan anak tempatan dan menetap di situ sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, Kempas mempunyai lokasi yang strategik kerana berhampiran pusat bandar, kawasan perumahan dan pusat beli-belah, namun masih berdepan beberapa isu yang memerlukan perhatian.
“Antara perkara yang saya perhatikan ialah masalah kesesakan lalu lintas, pengurusan sampah dan kenderaan terbiar.
“Saya ingin mengetahui bagaimana penduduk melihat isu-isu ini supaya penyelesaian yang dicadangkan benar-benar memenuhi keperluan mereka,” katanya.
Beliau turut berharap pengundi di DUN Kempas memberi peluang kepada calon dan parti baharu untuk membuktikan kemampuan membawa perubahan.
“Walaupun saya calon baharu, saya mempunyai pengalaman mengendalikan pelbagai projek.
“Saya berharap masyarakat Kempas memberi peluang kepada saya kerana kami sama-sama sayangkan kawasan ini dan mahu menjadikannya lebih baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















