KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) memutuskan secara sebulat suara menggantung Jawatankuasa Perhubungan Negeri Gerakan Johor berkuat kuasa serta-merta sementara siasatan dan tindakan lanjut dijalankan.
Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zhen berkata, ia susulan tindakan Gerakan Johor yang membuat keputusan menarik diri daripada PRN Johor secara unilateral tanpa sebarang rundingan atau kelulusan daripada kepimpinan pusat.
Menurutnya, Jawatankuasa Pusat Gerakan sebulat suara berpandangan bahawa tindakan berkenaan merupakan satu salah laku serius kerana melanggar disiplin parti, prinsip kepimpinan kolektif serta tatacara yang diperuntukkan di bawah perlembagaan parti.
“Bagi memastikan kelangsungan pentadbiran serta persiapan parti menghadapi PRN Johor tidak terjejas, Jawatankuasa Pusat turut melantik Timbalan Presiden, Oh Tong Keong sebagai Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Johor berkuat kuasa serta-merta,” kataya dalam satu kenyataan malam tadi.
Terdahulu, menurut Chia Zen, Jawatankuasa Pusat Gerakan semalam mengadakan mesyuarat tergempar yang dipengerusikan Presiden Nasional, Datuk Dr. Dominic Lau susulan perkembangan di Johor berkenaan.
Tambah beliau, Gerakan akan terus mempertahankan prinsip disiplin, perpaduan dan keutuhan organisasi demi memastikan perjuangan parti serta kepentingan gabungan Perikatan Nasional (PN) terus diperkasakan.
Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Johor, Teo Kok Chee dilapor mengesahkan parti itu tidak akan menyertai PRN Johor susulan keputusan sebulat suara mesyuarat jawatankuasa perhubungan negeri, sayap Wanita dan Pemudanya.
Menurutnya, walaupun Gerakan Johor tidak bertanding pada PRN kali ini, namun parti itu akan membantu calon PN mendapatkan kemenangan lebih besar.
Sementara itu, Naib Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee dilapor menafikan dakwaan parti itu menarik diri daripada menyertai PRN Johor kerana tidak berpuas hati dengan agihan kerusi.
Shiaw Lee yang juga setiausaha Jawatankuasa Gerakan Johor dilaporkan berkata, keputusan tidak menyertai PRN Johor dibuat berdasarkan pertimbangan pragmatik termasuk kesediaan keseluruhan semasa organisasi parti, keupayaan mobilisasi akar umbi dan peruntukan sumber. – MalaysiaGazette
















