Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berucap pada Ceramah Pakatan Harapan pada Jelajah Pakatan Harapan Selangor Parlimen Kota Raja di Jalan Kebun, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 24 MEI 2026.
Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin

JOHOR BAHRU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa parti MUDA berterus terang mengenai hala tuju politiknya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sambil menegaskan manifesto semata-mata tidak memadai tanpa kejelasan mengenai siapa yang akan membentuk kerajaan.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, rakyat berhak mengetahui dengan parti mana MUDA bercadang bekerjasama sekiranya memenangi kerusi yang ditandingi memandangkan parti itu hanya bertanding di empat daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Menurut beliau, secara matematik dan realiti politik, MUDA tidak mempunyai laluan untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.

“Manifesto yang diumumkan mungkin kedengaran menarik, namun persoalan lebih besar yang masih gagal dijawab ialah siapa sebenarnya yang akan melaksanakan semua janji itu.

“Jika MUDA sendiri tidak mempunyai angka untuk mentadbir Johor, rakyat berhak tahu kepada siapa mandat yang diberikan itu akhirnya akan diserahkan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Danish berkata, MUDA tidak boleh sekadar meminta undi tanpa menjelaskan kepada rakyat sama ada parti itu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya.

“Mandat rakyat bukan cek kosong. Jangan minta rakyat mengundi dahulu, tetapi hanya selepas keputusan diumumkan barulah menentukan siapa rakan politik yang akan dipilih,” katanya.

Beliau berkata, Presiden MUDA sendiri sebelum ini pernah mengakui parti berkenaan tidak mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan, sebaliknya manifesto yang dibawa hanyalah cadangan kepada kerajaan yang memerintah.

“Kalau begitu keadaannya, kerajaan yang mana satu? PH, PN atau BN? Soalan ini wajar dijawab sebelum pengundian, bukannya selepas rakyat selesai membuat pilihan,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Danish berkata, landskap politik Johor ketika ini turut memperlihatkan pelbagai bentuk kerjasama strategik, termasuk kenyataan pimpinan pas yang menggesa penyokongnya membantu calon BN di beberapa kerusi tertentu.

“Jika kerjasama politik boleh berlaku atas dasar strategi, MUDA juga perlu jujur menyatakan pendirian mereka. Rakyat berhak mengetahui apakah pelan sebenar parti itu selepas PRN nanti.

“Manifesto tanpa pelan membentuk kerajaan hanyalah janji di atas kertas. Apa yang rakyat perlukan ialah kejelasan mengenai siapa yang akan mentadbir dan bagaimana janji itu hendak ditunaikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast