Mohd Radzi (kanan) dan Mohd Ghazali (kiri) ketika ditemui selepas proses penamaan calon DUN Bukit Naning di Pusat Penamaan Calon Dewan Angsana Maktab Teknik PDRM, Muar, hari ini

MUAR – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Bukit Naning  memberi fokus kepada usaha mendekati pengundi Cina yang membentuk kira-kira 38 peratus di kawasan itu, dalam usaha memperkukuh sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Mohd Radzi Amin, 48, berkata, pendekatan berkenaan penting memandangkan komposisi pengundi pelbagai kaum di DUN tersebut, selain menekankan hubungan rapat dengan masyarakat setempat termasuk Melayu, Cina dan India.

Beliau yang pengalaman berkhidmat selama kira-kira 25 tahun di kawasan Bukit Naning serta latar belakang sebagai bekas penjawat awam dan aktivis belia mengakui perkara itu memberi kelebihan dalam mendekati pengundi pelbagai lapisan.

“Hubungan saya dengan masyarakat masjid, surau, tokong, gereja dan kuil adalah rapat menjadikan fokus kempen adalah kepada kesejahteraan penduduk khususnya sektor pertanian, selain menyelesaikan isu pembangunan setempat dan kesesakan lalu lintas di kawasan pekan Bakri.

“Apa yang saya ingin tekankan kepada 38 peratus penduudk Cina di pekan Bakri ini, carilah orang yang dekat dengan mereka dan  boleh membantu dengan segera,” katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Ghazali Sabari pula berkata, fokusnya adalah memperkukuh gerak kerja kempen dengan menyantuni pengundi dari rumah ke rumah sekali gus mengekalkan kemenangan parti.

Beliau turut mengakui cabaran sebagai calon baharu, namun menegaskan komitmen untuk bekerja keras bersama jentera bagi memastikan kejayaan BN di DUN Bukit Naning.

“Antara fokus utama kempen adalah pendidikan, ekonomi dan penambahbaikan infrastruktur sedia ada, selain usaha memperkukuh jentera bagi memastikan kemenangan parti.

“Cabaran tetap ada, tetapi kita akan bekerja kuat bersama rakan-rakan jentera untuk memastikan kemenangan BN di sini,” katanya.

PRN Johor ke-16 bagi DUN Bukit Naning menyaksikan saingan lima penjuru membabitkan Pakatan Harapan (PH) BN, PN, Parti Bersama Rakyat (Bersama) dan calon Bebas yang pernah tewas di kerusi sama sebelum ini.

Pada PRN Johor 2022, BN menerusi Datuk Dr. Mohd Fuad Tukirin memenangi kerusi itu dengan memperoleh 5,437 undi, menewaskan Mahadzir Abu Said (PN) yang meraih 3,902 undi, Md Ysahrudin (PKR) 3,317 undi, S. Jeganathan (Bebas) 1,514 undi dan Datuk Ibrahim Shafe’e (Pejuang) 86 undi.

Bagaimanapun, Mohd Fuad tidak dicalonkan semula pada PRN kali ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast