KUALA LUMPUR – Jenama kasut tempatan IJMAL terus melakar sejarah apabila memperkenalkan koleksi terbaharu, Nala Nana yang menampilkan kasut pertama di Malaysia menggunakan serat pisang sebagai sebahagian daripada bahan pembuatannya.
Pengasas Bersama Ijmal, Burhanudin Yusof berkata, pelancaran koleksi itu merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha pihaknya memperkasakan fesyen lestari menerusi penggunaan bahan alternatif yang mesra alam.
Menurutnya, pembangunan koleksi Nala Nana membuktikan syarikat tempatan mampu menghasilkan produk berasaskan penyelidikan dan pembangunan yang mempunyai nilai komersial serta berpotensi untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Justeru, Nala Nana bukan sekadar koleksi baharu, malah menjadi simbol bagaimana bahan yang sering dianggap sebagai sisa pertanian mampu diberi nafas baharu melalui penyelidikan dan inovasi.
“Kami berharap usaha ini dapat mengangkat nama Malaysia dalam industri fesyen lestari serta menjadi inspirasi kepada lebih banyak syarikat tempatan untuk meneroka penggunaan bahan alternatif,” katanya yang mengusahakan IJMAL bersama Faratihah Ibrahim.

Jenama tempatan itu kini mempunyai empat cawangan di Puchong, Bangi, Setia Alam dan Johor Bahru.
Burhanudin menambah, pelancaran koleksi Nala Nana merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha IJMAL memperkasakan fesyen lestari menerusi penggunaan bahan alternatif yang mesra alam.
Beliau berkata, pembangunan kasut serat pisang ini merupakan hasil kerjasama penyelidikan antara Bambusoideae Technology. Sdn Bhd dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali gus membuktikan kolaborasi antara institusi pendidikan dan industri mampu menghasilkan inovasi tempatan yang memberi impak kepada masyarakat dan industri.
Sementara itu, Faratihah Ibrahim berkata, aspek keselesaan yang menjadi identiti jenama itu tetap diberikan keutamaan walaupun menggunakan material alternatif.
“Kami mahu membuktikan bahawa kasut mesra alam tidak semestinya mengorbankan keselesaan di mana etiap rekaan yang dihasilkan oleh IJMAL sentiasa berpaksikan pengalaman pengguna.
“Walaupun menggunakan serat pisang sebagai sebahagian daripada bahan pembuatannya, standard keselesaan yang menjadi identiti Ijmal tetap dikekalkan supaya sesuai dipakai dalam kehidupan seharian,” katanya.

Sebagai jenama yang menawarkan konsep pusat sehenti untuk seisi keluarga, IJMAL menyediakan pelbagai pilihan kasut untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak di bawah satu bumbung, sekali gus memenuhi keperluan pengguna daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Melalui pengenalan Nala Nana, IJMAL berharap dapat terus memperkukuh kedudukannya sebagai jenama kasut tempatan yang menggabungkan keselesaan, inovasi dan kelestarian dalam setiap produk yang dihasilkan. – MalaysiaGazette
















