Calon BN DUN Gambir, Sahrihan Jani ketika menyantuni pengundi di Kampung Sagil Parit 3, Bukit Gambir hari ini.

BUKIT GAMBIR – Meskipun merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, namun calon Barisan Nasional (BN), Sahrihan Jani akan tetap dan terus turun padang untuk berkempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menurutnya, beliau akan terus mendekati setiap lapisan masyarakat dan berkhidmat dengan sebaik mungkin demi DUN Gambir.

Katanya, kempen turun padang itu cukup bermakna kerana memberinya peluang untuk bertanya khabar, mendengar pandangan serta berkongsi cerita bersama masyarakat dalam suasana yang begitu santai dan penuh semangat kekeluargaan.

“Terima kasih kepada semua yang sudi meluangkan masa untuk bertegur sapa, berkongsi pandangan dan sentiasa memberikan doa serta kata-kata semangat kepada saya,” katanya.

Calon BN DUN Gambir, Sahrihan Jani ketika menyantuni pengundi di Kampung Sagil Parit 3, Bukit Gambir hari ini.

Terdahulu, Sahrihan awal pagi ini memulakan kempennya hari ini dengan bersarapan di Kafe Vibe Sayang, Kampung Sagil Parit 3 di sini.

Sepanjang kempen itu, beliau sempat bertemu dan beramah mesra dengan pelanggan-pelanggan terdiri daripada masyarakat setempat yang menyambutnya dengan penuh kemesraan.

“Setiap kali berkunjung ke Sagil, suasananya sentiasa terasa cukup dekat di hati.

“Alhamdulillah, saya memang kerap hadir ke sini dan hubungan yang terjalin bersama masyarakat setempat semakin akrab dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada PRN Johor kali ini, Sahrihan akan berdepan persaingan tiga penjuru dalam usahanya mempertahankan kerusi DUN Gambir itu yang dimenanginya pada PRN lalu.

Sahrihan akan ditentang calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nor Mohd Yusof dan calon Pejuang, Suraya Sulaiman yang mewakili Perikata Nasional (PN).

Pada PRN lalu, Sahrihan memenangi kerusi DUN Gambir dengan majoriti 3,146 undi selepas memperoleh 7,960 undi dalam persaingan empat penjuru.

Beliau menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Na’im Jusri yang mendapat 4,509 undi; Mohd Solihan Badri (PN-4,814 undi) dan Suraya (Pejuang-220 undi). – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast