Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik dan Pengembangan Perniagaan Malaysia-Arab Saudi 2026 kedua-dua syarikat berlangsung baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kumpulan penyelesaian kejuruteraan dan perindustrian milik Malaysia, MKRS Group of Companies (MKRS) melebarkan sayap ke Arab Saudi dalam mengembangkan perniagaannya di Timur Tengah bagi menyokong Wawasan Saudi 2045 dan agenda transformasi ekonomi jangka panjang kerajaan tersebut.

Ia membabitkan kerjasama dengan Sinyar Saudi Industrial Investment Company iaitu syarikat pelaburan dan pembangunan perindustrian yang berpangkalan di Arab Saudi melibat pembangunan perindustrian, kejuruteraan, minyak dan gas, limbungan kapal, perkhidmatan penerbangan, inisiatif pelaburan, pertukaran pengetahuan dabn pemindahan teknologi.

Pengerusi MKRS, Datuk Dr Saravanan Karrupayah berkata, kejayaan tersebut mencerminkan perjalanan syarikat yang telah berkembang pesat sepanjang 35 tahun sejak ditubuhkan pada 1990 yang bermula sebagai sebuah perusahaan kecil.

“MKRS kini muncul sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Salah satu faktor utama yang menyokong perkembangan ini ialah pengenalan System Scaffolding Solution pertama buatan Malaysia yang telah membuktikan keberkesanannya dalam projek mega seperti Pembangunan Bersepadu Pengerang (RAPID) serta pelbagai kemudahan minyak dan gas,” katanya dalam satu kenyataan.

MKRS komited memindahkan teknologi serta kepakaran kejuruteraan tempatan ke Arab Saudi.

Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik dan Pengembangan Perniagaan Malaysia-Arab Saudi 2026 kedua-dua syarikat berlangsung baru-baru ini yang turut dihadiri Pengasas serta Pengerusi Sinyar Saudi Industrial Investment Company, Fahad Almishal.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, menerusi kerjasama itu, MKRS komited memindahkan teknologi serta kepakaran kejuruteraan tempatan ke Arab Saudi bagi membangunkan ekosistem pengeluaran dan rantaian bekalan yang mampan.

Menurut beliau, langkah tersebut selari dengan agenda penyetempatan industri yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan Arab Saudi.

Selain aspek teknologi katanya, kerjasama berkenaan turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan menerusi penyediaan laluan yang lebih tersusun untuk membawa bakat mahir Malaysia ke projek-projek antarabangsa.

“Sehingga kini, MKRS telah berjaya melatih dan mengiktiraf lebih 32,000 tenaga kerja teknikal menerusi pelbagai program pembangunan kompetensi.

“Usaha pengembangan strategik syarikat itu turut mendapat sokongan Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank Malaysia) melalui kemudahan pembiayaan eksport dan fasilitasi perniagaan antarabangsa.

“Kerjasama yang terjalin bukan sekadar perkongsian komersial sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan kepakaran teknikal Malaysia dengan peluang transformasi ekonomi yang sedang berkembang pesat di Arab Saudi,” katanya.

Sementara itu, Fahad berkata, Malaysia memiliki kelebihan tersendiri dalam bidang inovasi pembuatan dan perkhidmatan industri yang mampu menyumbang kepada penciptaan nilai ekonomi jangka panjang.

Katanya, kekuatan tersebut menjadikan Malaysia rakan strategik yang penting dalam usaha membangunkan sektor perindustrian yang lebih mampan dan berdaya saing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast