JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad menyifatkan sambutan pengundi sepanjang hari kedua kempen amat memberangsangkan.
Beliau berkata, perkembangan positif itu memberi keyakinan kepada Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja mempunyai peluang cerah bahkan mampu merampas kerusi N.47 daripada Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, hasil program turun padang di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas serta walkabout di Pasar Pagi Taman Johor mendapati ramai pengundi menyatakan sokongan secara terbuka terhadap beliau dan PH.
“Kita melihat penerimaan masyarakat sangat positif. Ada yang secara berdepan menyatakan akan mengundi PH.
“Jika momentum ini berterusan, saya percaya kita mempunyai peluang untuk menang di Kempas,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika melakukan walkabout di sekitar Anjung Selera Cempaka, Kempas, di sini, hari ini.

Faezuddin berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Johor 2022 tidak menggambarkan sokongan sebenar rakyat berikutan peratusan keluar mengundi yang rendah.
“Berdasarkan data Pilihan Raya Umum (PRU) 2022, PH memperoleh majoriti lebih 5,000 undi di kawasan Kempas apabila kadar keluar mengundi mencecah kira-kira 75 peratus.
“Peningkatan jumlah pengundi keluar mengundi bakal menjadi faktor utama menentukan kemenangan PH di Johor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















