Calon N.46 Perling, Pannir Selvam bercakap kepada MalaysiaGazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2026.

JOHOR BAHRU –  Pengalaman sebagai ahli majlis, selain legasi politik keluarga yang cukup dikenali di Johor menjadi sandaran calon MIC Barisan Nasional (BN), Pannir Selvam dalam usahanya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling yang dikuasai DAP sejak beberapa penggal lalu.

Meskipun pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Pannir Selvam bukan nama baharu dalam arena politik Johor sebaliknya telah lama aktif dalam MIC serta kerja-kerja kemasyarakatan sebelum diberi kepercayaan mewakili BN di kerusi campuran itu.

Menurut beliau, pengalaman di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan kelebihan untuk memahami serta menyelesaikan pelbagai isu harian yang menjadi keluhan penduduk Perling.

“Ramai bercakap mengenai dasar, tetapi rakyat mahu penyelesaian.

“Pengalaman saya sebagai ahli majlis membolehkan saya memahami proses pentadbiran dan bagaimana sesuatu masalah boleh diselesaikan dengan lebih cepat melalui kerjasama bersama jabatan serta agensi kerajaan.

“Saya percaya wakil rakyat bukan sekadar membawa isu ke Dewan Undangan Negeri, tetapi perlu tahu bagaimana mahu menyelesaikannya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Calon N.46 Perling, Pannir Selvam bercakap kepada MalaysiaGazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2026.

Pada PRN Johor 2022, DUN Perling dimenangi Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang memperoleh 18,628 undi dengan majoriti 3,347 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Koo Shiaw Lee memperoleh 15,281 undi manakala calon BN, Tan Hiang Kee mendapat 8,829 undi.

Sebagai antara kerusi campuran terbesar di Johor Bahru yang mempunyai komposisi pengundi pelbagai kaum, Perling dijangka sekali lagi menjadi antara medan persaingan utama pada PRN kali ini.

Mengulas mengapa pengundi perlu memberi peluang kepada BN selepas beberapa penggal memilih DAP, Pannir Selvam berkata, beliau mengutamakan kebersamaan seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

Beliau berkata, konsep itu bukan sekadar slogan, sebaliknya telah diterjemahkan melalui kepimpinan Menteri Besar Johor yang sentiasa turun padang membantu menyelesaikan masalah rakyat.

“Kita lihat sendiri bagaimana Menteri Besar sanggup turun ke CIQ pada pukul tiga atau empat pagi untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi rakyat.

“Itulah kepimpinan yang bekerja. Saya mahu menjadi sebahagian daripada pasukan yang bergerak bersama kerajaan negeri untuk memastikan setiap masalah rakyat mendapat perhatian,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, kejayaan Johor muncul sebagai antara negeri yang mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi membuktikan hala tuju pentadbiran negeri berada di landasan yang betul.

Katanya, pembangunan ekonomi bagaimanapun perlu disertai dengan penyelesaian kepada isu harian rakyat supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai di peringkat akar umbi.

Sepanjang tempoh berkempen, beliau berkata, antara isu paling banyak dibangkitkan penduduk ialah kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak, masalah parkir serta pelbagai isu berkaitan PBT.

Menurutnya, masalah parkir menjadi semakin serius apabila banyak ruang letak kereta awam digunakan oleh pekerja yang berulang-alik ke Singapura sehingga menyukarkan penduduk tempatan menjalankan urusan harian.

“Ramai penduduk mengadu mereka sukar mendapatkan tempat letak kereta untuk ke pasar, kedai atau menjalankan urusan harian.

“Begitu juga kesesakan trafik yang berlaku hampir setiap hari. Semua ini memerlukan penyelesaian yang praktikal dan bukan sekadar janji ketika musim pilihan raya,” katanya.

Beliau yakin pengalaman sebagai ahli majlis selama 10 tahun membolehkan beliau berhubung secara terus dengan jabatan berkaitan bagi mempercepatkan tindakan terhadap setiap aduan rakyat.

Di sebalik pencalonannya, Pannir Selvam turut membawa legasi politik yang cukup dikenali di Johor.

Beliau merupakan anak kepada Datuk KS Balakrishnan, bekas Pengerusi MIC Johor dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas yang berkhidmat selama lima penggal serta pernah menjadi antara pemimpin MIC paling berpengaruh di negeri ini.

Bagaimanapun, Pannir Selvam menegaskan beliau mahu membina identitinya sendiri melalui kerja keras dan khidmat kepada masyarakat.

“Saya membesar melihat ayah saya berkhidmat kepada rakyat. Sejak kecil saya mengikuti beliau bertemu masyarakat dan memahami pelbagai isu yang dihadapi penduduk.

“Pengalaman itu menjadi inspirasi kepada saya. Namun saya mahu dikenali bukan kerana nama keluarga, tetapi melalui usaha, komitmen dan hasil kerja saya sendiri untuk rakyat Perling,” tegasnya lagi.

Untuk makluman, N46 Perling akan menyaksikan pertembungan empat penjuru termasuk BN, PH, Perikatan Nasional (PN) dan Bersama pada 11 Julai depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast