JOHOR BAHRU – Kehadiran wakil rakyat yang sentiasa bersama masyarakat menjadi tuntutan utama pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, kata calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Faezuddin Mohd Puad.
Beliau berkata, hasil pertemuan dengan penduduk mendapati kebanyakan mereka mahukan wakil rakyat yang mudah ditemui serta konsisten mendengar masalah rakyat selepas memenangi pilihan raya.
Menurutnya, ramai pengundi meluahkan rasa kecewa apabila ada wakil rakyat hanya hadir ketika musim pilihan raya sebelum menghilangkan diri selepas menang.
“Mereka mahu wakil rakyat yang sentiasa turun padang, mendengar aduan dan menyelesaikan masalah.
“Itu antara pesanan paling banyak saya terima daripada pengundi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas melakukan walkabout di Anjung Selera Cempaka, di sini, hari ini.

Faezuddin juga berkata, budaya turun padang sudah menjadi amalan PH melalui pelbagai pendekatan termasuk kaunter bergerak yang memudahkan rakyat berinteraksi secara langsung.
“Saya berjanji akan meneruskan pendekatan tersebut sekiranya diberikan mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















