JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) didakwa hanya meminta mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi tiada perancangan dan arah yang jelas untuk memacu Johor.
Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Johor, Asiah Md Ariff berkata, PH dan PN perlu menjelaskan kepada rakyat apakah sebenarnya hala tuju yang ingin mereka bawa.
“Sehingga kempen PRN sudah berjalan, kedua-dua gabungan masih gagal mengemukakan manifesto atau pelan yang jelas untuk negeri ini.
“Persoalannya, jika hala tuju pun masih belum mampu dipersembahkan kepada rakyat, bagaimana mereka mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka bersedia mentadbir Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkat, rakyat Johor tidak memerlukan slogan dan retorik semata-mata.
Sebaliknya kata beliau, rakyat mahukan perancangan jelas, dasar realistik dan komitmen yang boleh dipertanggungjawabkan.
Hakikatnya kata Asiah, ketiadaan manifesto memperlihatkan PH dan PN masih tercari-cari arah, tiada perancangan tersusun serta gagal menawarkan visi yang meyakinkan untuk masa depan Johor.
“Kalau hala tuju pun masih kabur, bagaimana mahu mentadbir sebuah negeri yang sedang bergerak ke hadapan? Johor memerlukan kepimpinan yang bersedia dengan pelan, bukan sekadar meminta mandat tanpa menawarkan arah yang jelas kepada rakyat,” katanya.
Kelmarin, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz mengumumkan Manifesto BN Johor yang menggariskan 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor dengan tema “Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan’.
Antara yang ditawarkan BN Johor termasuklah mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan, selain meningkatkan akses pemilikan rumah subsidi Johor melalui peruntukan dana RM100 juta. – MalaysiaGazette
















