Presiden Parti Bersama, Rafizi Ramli beramah mesra bersama penyokong pada Ceramah Jelajah Trak Kancil sempena kempen Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Taman Pelangi, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 28 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Presiden Parti Bersama Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli mempertahankan keputusan parti itu menampilkan calon dalam kalangan ‘orang biasa’, meskipun mereka tidak mempunyai pengalaman dalam politik.

Beliau berkata, pendekatan itu disengajakan bagi memastikan wakil rakyat benar-benar memahami denyut nadi masyarakat dan bukannya sekadar petah berucap di pentas politik.

“Memang saya nak buat begitu. Saya nak calon-calon ini bercakap tentang perkara yang dekat dengan mereka sebab mereka orang biasa.

“Kita sudah melalui hampir 30 tahun politik yang diwarnai oleh orang-orang yang hebat bercakap.

“Mereka boleh yakinkan kita apa sahaja, tetapi akhirnya kehidupan mereka jauh berbeza daripada rakyat biasa,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Trak Kancil di Taman Pelangi, di sini, malam tadi.

Presiden Parti Bersama, Rafizi Ramli berucap pada Ceramah Jelajah Trak Kancil sempena kempen Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Taman Pelangi, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 28 JUN 2026.

Rafizi berkata, rakyat kini perlu menilai seseorang pemimpin berdasarkan kehidupan dan pengalaman mereka, bukannya semata-mata kehebatan berpidato.

“Wakil rakyat yang hidup seperti rakyat biasa lebih memahami masalah sebenar masyarakat kerana mereka sendiri berdepan cabaran yang sama,” katanya.

Menurut beliau, calon Bersama juga diberikan kebebasan menyuarakan pandangan masing-masing tanpa skrip walaupun ada yang pertama kali berucap di hadapan orang ramai.

“Memang ada orang hantar mesej kepada saya kata calon kita cakap macam-macam ikut suka dia. Memang saya nak begitu.

“Mereka bukan orang politik. Mereka bercakap daripada hati. Mereka tak pandai pusing cerita,” katanya.

Jelasnya, politik negara perlu dikembalikan kepada perbincangan mengenai isu kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, pendidikan, perumahan dan kesihatan, bukannya dipenuhi serangan terhadap parti lawan.

“Yang kita perlu ialah mengembalikan pentas politik untuk bercakap mengenai masalah harian rakyat.

“Kalau jadi pemimpin, memang kena dengar masalah rakyat. Kalau tak mahu dengar, letak jawatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast