BUKIT GAMBIR – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof terharu dan teruja dengan sambutan positif yang diterimanya daripada penduduk setempat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di kawasan itu, yang memasuki hari ketiga hari ini.
Mohd Nor, 49, yang juga Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ledang berkata, beliau dapat merasakan kehadirannya diterima dengan baik dan ikhlas oleh setiap lapisan masyarakat dari pelbagai latar belakang kaum dan usia.
Menurutnya, sambutan mesra itu disebabkan beliau bukanlah orang luar atau pemimpin asing di kawasan tersebut, sebaliknya sudah kerap turun padang mendekati penduduk di DUN Gambir sejak tiga tahun lalu.

“Saya sebelum ini sudah sering membawa aduan dan masalah masyarakat di sini ke pejabat Ahli Parlimen Ledang, jadi pada PRN Johor kali ini, kita hanya menyambung kerja-kerja menyantuni masalah rakyat itu yang memang sudah pun kita lakukan sebelum ini.
“Sama ada masyarakat Melayu, Cina atau India, semuanya memberikan maklum balas positif dan masing-masing ada isu serta masalah yang diutarakan yang kita ambil berat untuk diselesaikan,” katanya.
Beliau ditemui MalaysiaGazette ketika berkempen mendekati pengundi di sekitar pekan Bukit Gambir di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Nor yang juga anak jati Tangkak itu berkata, antara keluhan yang paling kerap didengari beliau sepanjang tempoh awal berkempen ini adalah berkenaan masalah capaian internet sama ada perlahan atau di luar jangkauan di sesetengah kawasan.

Selain itu, ujarnya, terdapat juga isu berkenaan soal kebajikan rakyat khususnya warga emas yang berasakan mereka tercicir daripada bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
“Jadi isu-isu seperti ini memang kita ambil perhatian serius sebab semua kemudahan dan bantuan itu sebenarnya sudah ada disediakan oleh kerajaan.
“Cuma mungkin dari segi penyampaian bantuan itu tidak sampai kepada kumpulan sasaran ini, jadi disinilah peranan yang saya boleh mainkan iaitu sebagai pemudah cara antara rakyat dan kerajaan negeri atau kerajaan Pusat.
“Usaha itu pastinya lebih mudah sekiranya saya diberi peluang sebagai wakil rakyat di DUN Gambir pada PRN Johor kali ini,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, Mohd Nor akan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Sahrihan Jani yang juga penyandang, serta calon Perikatan Nasional (PN), Suraya Sulaiman.
DUN Gambir mempunyai seramai 29,552 pengundi dengan majoriti pengundi merupakan kaum Melayu iaitu kira-kira 60 peratus. – MalaysiaGazette
















