Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Dr Zuhan Zain (tengah) semasa berkempen sempena PRN Johor di Kluang hari ini.

KLUANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Dr Zuhan Zain menyifatkan kemenangan yang diraih oleh penyandang sebelum ini bukan atas faktor kekuatan individu sebaliknya bersandarkan kepada formula kerjasama di bawah payung Kerajaan Perpaduan.

Katanya, landskap politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 kali ini bakal menjadi medan sebenar bagi menguji ke mana arah sokongan dan pilihan mutlak rakyat di kawasan berkenaan.

“Lawan saya sebenarnya baru sahaja diangkat malah kemenangan sebelum ini pun adalah atas dasar kerjasama perpaduan yang telah diwujudkan.

“Jadi pada kali ini, kita benar-benar akan dapat melihat di sebelah mana sokongan sebenar rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peluang menentang penyandang kerusi tersebut iaitu Syed Hussien Syed Abdullah dari Barisan Nasional.

Mengulas mengenai kelebihan berada dalam blok Kerajaan Persekutuan, pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, pihaknya sama sekali tidak menggunakan kelebihan tersebut secara ‘pakej penuh’ untuk berkempen.

“Kita sebenarnya cuba menambat hati masyarakat di sini dengan kerja-kerja yang telah saya laksanakan selama 10 tahun bukannya baru setahun dua.

“Kita di peringkat Persekutuan adalah Kerajaan Perpaduan, namun kita tidak menggunakan jentera kerajaan 100 peratus,” katanya.

Menyentuh mengenai demografi pengundi di DUN Mahkota, Zuhan optimis pengundi campuran di kawasan itu matang dalam menilai calon.

“Saya yakin pengundi khususnya kaum Melayu di sini akan bijak membuat pilihan dan tahu siapa sebenarnya yang boleh memimpin.

“Mereka bukannya mahu memainkan isu lokal semata-mata seperti anak Kluang atau seumpamanya. Rata-rata yang berkhidmat dan membangunkan Kluang datang daripada pelbagai pihak.

“Jadi, sesiapa sahaja yang boleh membangunkan Kluang serta memberi manfaat yang bagus, mereka boleh terima. Inilah sebenarnya aspirasi dan hasrat besar saya untuk Kluang,” ujarnya.

Sementara itu, Zuhan turut menekankan tiga manifesto yang dilihat boleh memberikan pembaharuan di Mahkota.

Tiga fokus utama yang digariskan merangkumi penubuhan cawangan Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/IPTS), transformasi Bandar Digital serta penarikan pelaburan industri kargo berimpak tinggi.

Pada PRN Johor kali ini, DUN Mahkota menyaksikan pertandingan tiga penjuru di mana Zuhan akan berdepan Syed Hussien (BN) dan Abd Hamid Ali (BERSAMA). -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast