KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini melabuhkan tirai Karnival 25 Tahun sempena Sambutan Jubli Perak universiti dengan penuh meriah dan jayanya, sekali gus menandakan pencapaian suku abad kecemerlangan institusi tersebut dalam bidang pendidikan tinggi, khususnya dalam sektor marin dan kelestarian lautan.
Karnival yang berlangsung selama 4 hari bermula 25 Jun lalu menghimpunkan penyertaan lebih 2,000 pengunjung yang
terdiri daripada pelajar sekolah, warga universiti, komuniti setempat, agensi kerajaan, rakan industri serta pelbagai pihak lain.
Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat ini membuktikan peranan UMT sebagai institusi yang inklusif dan dekat dengan
komuniti.
Sepanjang tempoh penganjuran, sebanyak sembilan aktiviti utama telah dilaksanakan merangkumi program kerohanian
iaitu majlis solat hajat di Masjid UMT, Pusat Islam Sultan Mahmud, diikuti Forum Hal Ehwal Islam.
Bagi meraikan staf, turut diadakan Program sukan rakyat dan Color Fun Run melibatkan penyertaan 500 peserta termasuk pelajar dan belia setempat.ertaan 500 peserta termasuk pelajar dan belia setempat.
Selain itu, UMT turut mengangkat martabat ilmiah dengan penganjuran Pertandingan Inovasi Antara Sekolah 2026,
bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Universiti Malaysia Terengganu ini.
Pertandingan ini menjadi platform kepada para pelajar untuk mengetengahkan idea-idea kreatif dan penyelesaian inovatif dalam bidang Sains dan Teknologi, Kejuruteraan dan Rekabentuk, Kelestarian Alam Sekitar serta Inovasi Digital dan
Kecerdasan Buatan (AI).
Bermula sebagai Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) pada tahun 2001 sebelum dinaiktaraf kepada
universiti penuh pada tahun 2007, UMT kini berkembang sebagai institusi berimpak global yang menerajui agenda ekonomi biru negara, khususnya dalam bidang marin, perikanan, akuakultur dan kelestarian lautan.
Seiring dengan perkembangan tersebut, UMT turut mencatatkan pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila disenaraikan pada kedudukan 701–710 terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2026, menunjukkan peningkatan berbanding kedudukan 801–850 pada tahun 2025. UMT juga berada pada julat 201–300 bagi penarafan Sustainable Impact Rating oleh Times Higher Education (THE), yang turut memperlihatkan peningkatan berbanding kedudukan sebelumnya.
Selain itu, UMT juga memperoleh penarafan 5 bintang MyMOHES bagi kategori kualiti data dengan skor 100 peratus
bagi tahun 2025, mengukuhkan lagi reputasi universiti dalam aspek tadbir urus dan pengurusan data.
Naib Canselor UMT, Prof Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapannya berkata, pencapaian tersebut mencerminkan
komitmen, dedikasi dan usaha berterusan seluruh warga universiti dalam memastikan kecemerlangan institusi terus
diperkasa dan relevan di peringkat global.
“Segala kejayaan yang diraih sepanjang 25 tahun ini bukan sahaja akan terus dikekalkan, malah dipertingkatkan melalui
pengalaman, kematangan dan komitmen seluruh warga universiti dalam mendepani cabaran masa hadapan,” katanya.
Sebagai simbolik penghargaan kepada pengunjung dan peserta, cabutan bertuah turut diadakan dengan hadiah utama
berupa sebuah motosikal elektrik tajaan UMT Holdings.
Sambutan Jubli Perak UMT akan terus berlangsung sepanjang tahun 2026 hingga awal 2027 dengan pelbagai lagi program
yang dirancang bagi memperkukuh peranan universiti sebagai institusi pengajian tinggi yang unggul, inovatif dan berdaya saing. – MalaysiaGazette
















