KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan mengingatkan seluruh jentera parti itu supaya menumpukan sepenuhnya tenaga dan usaha pada `pertempuran’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menurutnya yang juga Timbalan Presiden UMNO, jentera parti tidak sepatutnya terganggu dengan isu-isu lain khususnya masalah dalaman parti yang boleh memberi kesan kepada kekuatan dan boleh mengakibatkan perpecahan.
Ujarnya, UMNO dan BN perlu mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku di Negeri Sembilan pada PRN lalu yang mana ada kerusi yang sepatutnya dimenangi BN tetapi terlepas kepada pembangkang kerana wujud sabotaj dalaman dan rasa tidak puas hati ahli parti.
“Dalam keadaan sekarang ini, tutup medan tempur kecil-kecil ini. Hadapi perang sebenar kita iaitu perang pilihan raya negeri Johor.
“It’s for us to lose. For us to lose. Kalau kalah sebab kita, bukan sebab orang lain.
“Jadi cari sebab tutup pertempuran dalaman ini, sebab muafakat punca selamat, bersengketa punca celaka.
“Lupakan sengketa dalam tempoh sembilan hari ini (kempen PRN Johor), apa-apa sahaja, jangan ada kecil hati,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis Taklimat Bersama Timbalan Presiden UMNO bersama jentera UMNO BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Sawah Ring, di sini hari ini.
Turut hadir, calon BN DUN Gambir, Sahrihan Jani.

Sementara itu, Mohamad yang juga Menteri Luar turut mengingatkan jentera di DUN Gambir supaya tidak berasa selesa meskipun Sahrihan yang merupakan penyandang kerusi itu menang dengan majoriti lebih 3,000 undi pada PRN Johor lalu.
Tambahnya, dinamika politik hari ini tidak lagi sama seperti ketika PRN lalu khususnya apabila pengundi kali pertama dan pengundi muda muncul sebagai kumpulan pengundi terbanyak.
Sehubungan itu, beliau menggesa jentera benar-benar mengenal pasti kumpulan pengundi setia yang disifatkan pengundi putih dan mendekati mereka bagi memastikan sokongan kepada BN kekal. – MalaysiaGazette
















