JOHOR BAHRU – Presiden Parti Bersama Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan keputusan parti yang baru berusia kira-kira 40 hari untuk bertanding dalam 15 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai sesuatu yang luar biasa.
Beliau berkata, ramai menyifatkan keputusan itu sebagai tindakan ‘gila’, namun yakin pencapaian Bersama dalam tempoh singkat membuktikan parti berkenaan mempunyai potensi besar.
“Kita parti yang baru 40 hari, tetapi berjaya mengemukakan 15 calon dan semuanya diterima untuk bertanding.
“Bagi saya itu satu kelegaan kerana proses pencalonan bukan mudah. Sedikit kesilapan tanda tangan atau pencadang tidak hadir pun boleh menyebabkan calon ditolak,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Trak Kancil di Taman Pelangi, di sini, malam tadi.

Rafizi berkata, parti itu juga berjaya mengendalikan kempen walaupun berdepan kekangan kewangan dan jentera yang jauh lebih kecil berbanding parti-parti lama.
“Kita tak boleh bandingkan parti umur 40 hari dengan parti umur 70 tahun.
“Tetapi kalau dalam 40 hari kita sudah boleh berkempen seperti sebuah parti nasional, bayangkan apa yang boleh kita lakukan jika diberi empat tahun,” katanya.
Beliau turut menyeru pengundi memberi peluang kepada Bersama untuk membuktikan kemampuan parti itu sebagai alternatif baharu dalam landskap politik negara.
“Yang kami minta hanya satu, buka minda dan beri peluang kepada parti baharu ini,” katanya.
Selain itu, Rafizi menolak tanggapan bahawa pengundi Melayu hanya mempunyai dua pilihan politik iaitu sama ada menyokong UMNO atau Pas.
Jelasnya, masyarakat Melayu sama seperti kaum lain yang terdiri daripada kelompok konservatif dan progresif dengan kecenderungan politik berbeza.
“Saya lahir di Terengganu, membesar dalam suasana politik UMNO dan Pas.
“Tetapi hari ini saya berada dalam Bersama kerana saya percaya ada orang Melayu yang progresif dan mahukan perubahan,” katanya.
Menurut Rafizi, golongan konservatif cenderung mengekalkan pendekatan lama walaupun berdepan cabaran baharu, manakala golongan progresif sentiasa mencari penyelesaian baharu demi kepentingan rakyat.
“Ada orang konservatif di mana-mana, sama ada Melayu, Cina, India, Jepun atau Eropah.
“Begitu juga golongan progresif yang sentiasa mahu mencari jalan baharu untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Katanya lagi, Bersama diwujudkan sebagai platform politik progresif yang mahu membawa pendekatan baharu tanpa terikat kepada politik lama berasaskan kaum atau retorik semata-mata.
“Kita mahu buktikan politik baharu boleh menyatukan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















