KUALA LUMPUR – Pelabur institusi tempatan melanjutkan trend belian bersih kepada 11 minggu berturut-turut, dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM191.6 juta.
MBSB dalam nota penyelidikannya berkata, pelabur runcit juga kembali menjadi pembeli bersih selepas mencatat jualan bersih pada minggu sebelumnya, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM363.2 juta.
Namun, pelabur institusi asing meneruskan aktiviti jualan bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut dengan mencatat aliran keluar bersih berjumlah RM554.7 juta.
Institusi asing menjadi penjual bersih pada setiap hari dagangan minggu lalu, dengan aliran keluar direkodkan pada Selasa (RM176.8 juta), Jumaat (RM171.5 juta), Khamis (RM99.5 juta), Rabu (RM77.4 juta) dan Isnin (RM29.5 juta).
Tiga sektor yang mencatat aliran masuk bersih tertinggi daripada institusi asing ialah produk dan perkhidmatan perindustrian (RM69.8 juta), teknologi (RM19.9 juta) dan utiliti (RM19.4 juta).
Sebaliknya, aliran keluar bersih terbesar direkodkan dalam sektor perkhidmatan kewangan (RM257.7 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM98.9 juta) serta pembinaan (RM93.5 juta).
Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan penurunan secara menyeluruh, iaitu pelabur runcit susut 21.2 peratus, institusi tempatan menurun 28.4 peratus, manakala institusi asing merosot 33.7 peratus. – MalaysiaGazette
















