KUALA LUMPUR – Sindiket menyimpan, menjual dan mengedar minuman keras tiruan serta tidak bercukai kastam di sekitar Lembah Klang berjaya dipatahkan dengan menaha dua lelaki termasuk warga asing pada 25 Jun lalu.
Serbuan menerusi Ops Taring itu yang dijalankan pasukan daripada WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Putrajaya dan Bahagian Siasatan Jenayah D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan dan Siasatan Khas Bahagian Pasukan Gerakan Am (PGA), JKDNKA, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, dua serbuan dilakukan di sebuah premis di Kepong Baru, Kuala Lumpur dan di tepi Jalan Lebuh Bandar Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
“Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berbangsa India dan seorang lelaki warga Sri Lanka ditahan disyaki bergiat aktif menjalankan aktiviti berkernaan di sekitar Lembah Klang.
“Turut dirampas empat kenderaan membabitkan tiga lori bonded dan sebuah van, selain 11,496 tin serta 9,737 botol minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tiruan dan tidak bercukai kastam.
“Ia melibaktkan nilai sitaan sebenar dianggarkan RM755,290, manakala nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,656,140,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal ke atas suspek tempatan mengaku bekerja sebagai coordinator/store keeper sejak Jun 2025 dengan upah RM3,000 sebulan.
“Dia berperanan mengatur penerimaan serta menyimpan bekalan minuman keras tiruan atau tidak bercukai kastam selepas menerima arahan daripada seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai Sathiya.
“Seorang lagi suspek warga Sri Lanka mengaku bekerja sebagai store keeper/transporter sejak Januari lalu dengan upah RM2,500 sebulan dan berperanan menyimpan serta membuat penghantaran bekalan kepada pembeli sekitar Lembah Klang,” jelasnya.
Susulan itu katanya, kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa KPDN Putrajaya bagi siasatan lanjut.
“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah atau palsu,”ujarnya. – MalaysiaGazette
















