SEGAMAT – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan dakwaan mengadakan mesyuarat tergempar kerana kononnya Barisan Nasional (BN) Johor hanya mampu memenangi 35 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 11 Julai ini sebagai satu pembohongan besar dan fitnah politik.
“I think it is a big lie, a fitnah (Saya fikir ini adalah satu pembohongan besar, satu fitnah),” katanya ringkas.
Onn Hafiz berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media berkaitan mesyuarat berkenaan sejurus Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Sekijang Restoran Siong Hai Kee di Segamat, di sini hari ini.
Majlis tersebut diadakan sempena kempen bagi calon BN di DUN N04 Kemelah, Raven Kumar Krishnasamy dan DUN N03 Pemanis, Anuar Abd Manap.
Semalam sebuah portal melaporkan kepimpinan BN Johor dijangka mengadakan mesyuarat khas susulan dapatan kajian terbaharu yang didakwa menunjukkan gabungan itu mungkin hanya mampu memenangi sekitar 35 kerusi berbanding sasaran asal 40 hingga 42 kerusi.
Dalam perkembangan lain beliau turut menafikan dakwaan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Kamil Munim yang mengatakan PMX tidak dibenarkan menggunakan premis kejasaan ketika ingin mengadakan program di Sungai Balang baru-baru ini.
“Another big lie, a fitnah (satu lagi penipuan, fitnah),” katanya lagi sambil tersenyum.
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan dakwaan itu dibuat Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim yang mempersoalkan layanan diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan ke Sungai Balang, pada dua minggu lalu.
Dakwa beliau, program yang menghimpunkan nelayan, petani, usahawan dan warga pendidik itu sepatutnya berlangsung di Kompleks Penghulu Sungai Balang.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
AMK persoal layanan Onn Hafiz terhadap PM
















