BATU PAHAT – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Mohd Yusla Ismail yakin mampu mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Malah, beliau yang merupakan penyandang kerusi di DUN berkenaan turut menyasarkan peningkatan majoriti daripada kira-kira 4,000 kepada 6,000 undi berdasarkan perkembangan positif kempen yang kini memasuki hari keempat.
Mohd Yusla berkata, gerak kerja kempen pada awalnya agak perlahan, namun semakin lancar bermula hari kedua dan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sehingga kini.
“Alhamdulillah, dalam tempoh empat hari selepas penamaan calon, kita lihat ada perkembangan dan peningkatan.
“Hari pertama pergerakan agak perlahan, tetapi hari kedua semakin lancar dan sehingga hari ini ia bertambah baik. Insya-Allah kita yakin boleh menang di DUN Senggarang,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan ziarah bertemu pengundi di sini, hari ini.
Mengulas kekeliruan yang mungkin timbul dalam kalangan pengundi susulan BN dan Pakatan Harapan (PH) bertanding secara berasingan walaupun membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, beliau percaya rakyat Johor cukup matang untuk membuat pilihan.
Menurutnya, pengundi memahami bahawa PRN adalah bagi memilih kerajaan negeri yang mana ia diterajui BN sebelum ini, sementara Kerajaan Persekutuan pula ditadbir menerusi Kerajaan Perpaduan.
“Saya kira rakyat Johor matang. Mereka faham bahawa kita memilih kerajaan negeri, bukannya kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Johor ialah kerajaan BN, manakala di peringkat Persekutuan ialah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya diberi mandat, keutamaan yang akan diteruskan ialah agenda pembangunan yang masih belum dilaksanakan, khususnya penyediaan lebih banyak rumah dan bilik sewa mampu milik untuk golongan muda.
Katanya, agenda itu selari dengan inisiatif Teras Maju Johor yang diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Keutamaan kita ialah membawa lebih banyak perumahan sama ada rumah atau bilik untuk orang muda kerana ia antara agenda penting negeri,” katanya.
Mengakui saingan tiga penjuru di DUN Senggarang bukan mudah kerana melibatkan tokoh berpengalaman termasuk seorang ahli Parlimen, Mohd Yusla berkata, jentera BN akan memanfaatkan sepenuhnya tempoh kempen selama 14 hari.
“Kita akan jelajah seluruh kawasan DUN Senggarang yang luas ini.
“Dengan bantuan jentera parti, saya percaya kita mampu bertemu seramai mungkin pengundi,” katanya.
Beliau turut optimis sasaran meningkatkan majoriti kepada 6,000 undi mampu dicapai hasil gerak kerja yang dijalankan sejak awal pagi hingga lewat malam.
“Dengan sokongan semua pihak dan gerak kerja berterusan, kita percaya sasaran itu boleh dicapai,” katanya.
Setakat hari keempat kempen, beliau berkata, kira-kira 40 peratus kawasan DUN Senggarang telah berjaya dilawati.
Menurutnya, rutin kempen bermula seawal program Semarak Subuh di masjid sebelum diteruskan dengan siri kunjungan ke kawasan-kawasan pengundi sehingga sekitar jam 12 tengah malam atau 1 pagi.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusla memaklumkan, BN sedang merancang untuk mengadakan ceramah besar dalam masa terdekat yang akan menampilkan kepimpinan tertinggi parti.
Beliau turut menghargai sokongan terbuka yang diberikan pimpinan Pas kawasan Batu Pahat, termasuk Misran Samian, dan berharap sokongan itu dapat diterjemahkan kepada undi buat BN.
“Kita berterima kasih atas kesudian mereka memberi sokongan kepada BN. Mudah-mudahan sokongan itu dapat membantu menambah majoriti kemenangan,” katanya.
Menyentuh suasana kempen, Mohd Yusla berkata, setakat ini tiada sebarang provokasi daripada pihak lawan dan berharap semua pihak terus berkempen secara bersih.
“Kita harap kempen berjalan secara baik dan tidak perlu berbalah kerana kita semua bangsa Johor,” katanya. – MalaysiaGazette
















