Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Pendirian Pas berhubung sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 seperti diputuskan menerusi Mesyuarat Khas Pas Pusat semalam, membuktikan parti itu tidak mengamalkan politik sempit dan emosi.

Sebaliknya, Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengisytiharan Pas untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi calon Perikatan Nasional (PN) itu adalah bersandarkan prinsip dan kepentingan ummah.

Ujar beliau, ia bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak menguasai Johor dan negeri itu harus kekal bertunjangkan kepimpinan Melayu dan Islam.

Dakwanya, Pas tegas menolak politik yang berdasarkan `Malaysian Malaysia’ cetusan DAP, sekularisme; pluralisme dan liberalisme yang tidak sesuai dengan Malaysia.

“Sokongan Pas juga satu pengiktiran pada cara Johor mengekalkan dasar NO PH NO DAP,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Semalam, Pas menerusi mesyuarat khas membuat ketetapan menyeru pengundi di Johor tidak memberikan undi kepada PH, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertembungan dua penjuru melibatkan BN dan PH.

Berdasarkan ketetapan itu, ia bermaksud ahli dan penyokong Pas perlu mengundi calon BN di 23 kerusi DUN yang tidak ditandingi PN pada PRN Johor kali ini.

Tambah Annuar yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas bagi PRN Johor ke-16, parti itu juga menawarkan kepada bangsa Johor 11 kawasan yang ditandingi sebagai kawasan referendum menolak `UMDAP’ yang menjadi pegangan UMNO Pusat dan bercanggah dengan cara UMNO Johor.

Jelasnya, 11 kawasan itu hanya merupakan 20 peratus daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Johor, sekali gus tidak menggugat kedudukan BN.

Sebaliknya, ujar beliau, ia memberi peluang kepada bangsa Johor `meluaskan kuasanya’ dalam mencorak politik nasional.

“Dengan referendum 11 kawasan di mana undi Melayu Islam disatukan dengan memilih Pas, kita percaya ia bakal mencetuskan penolakan pada kewujudan `UMDAP’ di pusat dan dihidupkan kembali Muafakat UMNO-Pas yang bakal menunjangi politik nasional,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast