BUKIT GAMBIR – Calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Suraya Sulaiman menyifatkan peluang bertanding di bawah logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 sebagai amanah besar yang perlu digalas sebaik mungkin.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor berkata, tanggunggjawab itu mendorongnya untuk bekerja lebih kuat bagi membalas kepercayaan yang diberikan bukan sahaja oleh PN, tetapi juga oleh partinya, Pejuang.
Tambah Suraya, tanggungjawab itu juga disifatkan lebih besar apabila beliau merupakan satu-satunya calon Pejuang yang bertanding pada PRN Johor kali ini.

Menurutnya, meskipun menyedari persaingan bagi merebut kerusi DUN Gambir bukanlah sesuatu yang mudah, namun beliau tetap percaya pengundi di kawasan itu akan menilai kesungguhannya untuk berkhidmat kepada mereka.
“Sudah semestinya ini satu amanah dan tanggungjawab yang besar (tanding guna logo PN).
“Ia juga merupakan satu kepercayaan yang cukup tinggi daripada kepimpinan PN untuk melihat saya khususnya, dan jentera Pejuang di sini berusaha bersungguh-sungguh menawan hati pengundi,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Pada PRN Johor kali ini, Suraya akan berdepan persaingan tiga penjuru bagi merebut kerusi DUN Gambir itu dengan menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang, Sahrihan Jani dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nor Mohd Yusof.
Sementara itu, Suraya berkata, peluang sekali lagi bertanding di DUN Gambir kali ini membolehkannya membantu memperkukuh jenama PN, selain menyebar luas penyertaan keahlian parti Pejuang.
Tambahnya, para pengundi perlu menilai keputusan PN dan Pejuang menyertai PRN Johor kali ini termasuk di DUN Gambir sebagai langkah dalam memastikan proses demokrasi benar-benar subur di negara ini.
“PN dan Pejuang hadir untuk memberi satu alternatif atau platform kepada rakyat Johor dalam memastikan suara mereka benar-benar didengari bukan sahaja di peringkat negeri, malah hingga ke Kerajaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette
















