SUASANA kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Tebrau bertukar hiba apabila seorang warga emas tidak dapat menahan air mata ketika mengimbau jasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menurutnya banyak membawa perubahan kepada kehidupan rakyat menerusi pelbagai inisiatif ketika mentadbir negara.
Lelaki berusia 66 tahun dikenali sebagai Jaganathan Sethu yang ditemui MalaysiaGazette berkata, walaupun masa telah berlalu, pelbagai dasar dan kemudahan yang diperkenalkan ketika era pentadbiran Najib masih segar dalam ingatannya.
Ia kerana memberi manfaat secara langsung kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang.
Menurutnya, antara inisiatif yang paling dekat di hati ialah penubuhan Klinik 1Malaysia yang disifatkannya sebagai antara dasar paling menyentuh kehidupan rakyat biasa kerana menyediakan rawatan kesihatan yang mudah diakses pada kos yang sangat rendah.
“Dulu bila sebut nama Najib, saya terus teringat Klinik 1Malaysia. Bukan sebab politik, tetapi sebab rakyat biasa macam kami benar-benar dapat merasai manfaatnya. Mana-mana kawasan pun ada kemudahan itu,” katanya.

Beliau yang terlibat dalam industri besi buruk itu berkata, orang ramai tidak perlu terlalu memikirkan kos bagi mendapatkan rawatan penyakit ringan kerana kemudahan tersebut benar-benar membantu golongan berpendapatan rendah.
“Saya masih ingat, kalau sakit demam atau sakit biasa, tidak perlu fikir banyak pasal kos. Klinik 1Malaysia banyak membantu orang susah, warga emas, pekerja dan keluarga yang pendapatan tidak seberapa. Itu yang rakyat masih ingat sampai hari ini.
“Orang boleh cakap macam-macam, tetapi sebagai rakyat, saya nilai apa yang saya sendiri pernah rasai. Bila sesuatu dasar itu memudahkan hidup kita, memang susah untuk dilupakan,” katanya lagi.
Ketika mengimbau perkara itu, beliau beberapa kali mengesat air mata sebelum mengakui masih berasa sedih kerana tidak lagi melihat kelibat Najib sepanjang kempen PRN Johor kali ini.
“Kalau tanya saya apa yang paling saya kenang tentang Najib, saya akan jawab Klinik 1Malaysia. Itu antara inisiatif yang saya rasa betul-betul dekat dengan rakyat. Tidak kira Melayu, Cina atau India, semua boleh pergi mendapatkan rawatan.
“Sekarang saya sudah berusia 66 tahun. Bila teringat balik, saya sedih… sebab saya tidak nampak lagi kelibat Najib dalam pilihan raya kali ini. Dulu kalau dia turun, orang ramai memang tunggu,” katanya dalam nada sebak.
Beliau menjelaskan, apa yang ingin disampaikan bukan mengenai politik atau parti tertentu sebaliknya penghargaan terhadap seorang pemimpin yang menurutnya pernah memperkenalkan pelbagai dasar yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan rakyat.
“Saya bukan bercakap soal parti. Saya bercakap tentang seorang pemimpin yang pernah memperkenalkan pelbagai kemudahan untuk rakyat. Itu yang saya sendiri lihat dan alami.
“Harapan saya mudah. Siapa pun yang memimpin selepas ini, buatlah dasar yang benar-benar membantu rakyat seperti yang pernah dilakukan dahulu. Rakyat tidak akan lupa jasa pemimpin yang memudahkan kehidupan mereka.
“Saya percaya satu perkara, rakyat mungkin lupa apa yang pemimpin cakap, tetapi rakyat tidak akan lupa apa yang pemimpin buat untuk mereka. Sebab itu sampai hari ini saya masih ingat Najib,” ujarnya.

Klinik 1Malaysia diperkenalkan pada 2010 sebagai sebahagian usaha kerajaan memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan asas khususnya kepada masyarakat berpendapatan rendah di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Melalui inisiatif itu, rakyat boleh mendapatkan rawatan penyakit ringan, pemeriksaan kesihatan, ubat-ubatan serta khidmat nasihat kesihatan dengan bayaran serendah RM1, mengurangkan kebergantungan kepada hospital kerajaan yang sering menerima jumlah pesakit yang tinggi.
Dalam tempoh beberapa tahun, ratusan Klinik 1Malaysia diwujudkan di seluruh negara sebelum kemudiannya melalui proses penjenamaan semula kepada Klinik Komuniti di bawah Kementerian Kesihatan.
Selain Klinik 1Malaysia, pentadbiran Najib turut memperkenalkan pelbagai inisiatif lain yang memberi impak kepada kehidupan rakyat termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia.
Juga beberapa program transformasi kerajaan yang bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas.
Bagi warga emas itu, pemimpin akan terus dikenang bukan kerana pidato atau kempen politik tetapi melalui dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan rakyat.
Itulah sebabnya, walaupun bertahun-tahun telah berlalu, nama Najib masih terpahat dalam ingatannya sehingga membuatkan beliau mengalirkan air mata ketika mengenang kembali jasa bekas Perdana Menteri itu. – MalaysiaGazette
















