Bunga ganja yang dirampas AKPS di KLIA pada 29 Jun lalu. Foto AKPS KLIA

KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja dianggarkan bernilai RM1.69 juta berjaya dipatahkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Isnin lalu.

AKPS dalam kenyataan berkata, rampasan itu merupakan hasil tindakan bersepadu dan kerjasama erat antara AKPS KLIA dengan Aviation Security (AVSEC) dalam memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara serta membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan.

“Hasil pemeriksaan terperinci, sebanyak 39 bungkusan ditemui disyaki mengandungi bunga ganja dengan anggaran berat keseluruhan 21.14 kilogram.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,691,200 dan kuantiti dadah berkenaan dipercayai mampu menampung penggunaan seramai 70,333 individu pada satu-satu masa,” katanya dalam kenyataan,

Tambah AKPS, suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada polis untuk siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. 

“Kejayaan itu membuktikan keberkesanan kawalan keselamatan berlapis di pintu masuk dan keluar negara selain tahap kesiapsiagaan anggota penguat kuasa dalam mengesan cubaan penyeludupan menggunakan pelbagai modus operandi,” jelasnya.

Tegas AKPS, pihaknya akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara melalui pendekatan penguatkuasaan bersepadu, penggunaan teknologi pemeriksaan terkini serta kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah dan jenayah rentas sempadan.

“AKPS tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast