KULAI – Hujah bahawa peratusan mengundi yang rendah akan memberi kemenangan terhadap Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah tidak relevan lagi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, gabungan berkenaan sejak empat tahun lalu sudah berkerja keras untuk rakyat dengan berterasaskan 3D.
“3D ini adalah satu gerak kerja iaitu semua wakil rakyat termasuk juga yang berhormat Menteri Besar Johor turun padang bila ada isu dan masalah rakyat.
“Keduanya adalah bekerja sebagai satu pasukan dan ketiganya adalah bekerja secara luar biasa,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor itu.
Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas melakukan bertemu orang ramai semasa berkempen di Pasar Malam Temenggong di sini hari ini.
Turut hadir calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, R Kumaran dan calon BN DUN Senai, Kiki Tai yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Pada PRN Johor 2022, peratusan keluar mengundi adalah 54.92 peratus yang diadakan ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, BN Johor tidak bergantung dengan peratusan mengundi tinggi atau rendah untuk menang PRN Johor.
Onn Hafiz berharap peratusan keluar mengundi pada PRN kali ini akan tinggi malah lebih ramai adalah lebih bagus.
Ditanya sama ada kemelut politik antara Kerajaan Persekutuan dan BN negeri ini akan menjejaskan peluang BN dalam PRN Johor, Mohd Jafni yakin pengundi Johor akan tetap memilih BN.
“Kita memanglah menghadapi tekanan yang agak kuat. Maklumlah dari Federal, kita ni siapakan di peringkat negeri,” ujarnya yang akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Permai.- MalaysiaGazette
















