LAYANG-LAYANG – Jentera Barisan Nasional (BN) tampil dengan pendekatan berbeza pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 melalui strategi kempen atas talian.
Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong berkata, kempen secara atas talian dapat membantu calon-calon muda parti untuk lebih dikenali.
“Langkah baharu ini memperlihatkan Pemuda BN dan MCA kini lebih bersedia bersaing di media sosial malah mendahului pihak lawan dengan membawakan kempen berasaskan fakta dan bukannya fitnah atau sentimen.
“Strategi digital ini menjadi sokongan penting buat calon BN khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Layang-Layang iaitu Chua Jian Boon dalam usaha mempertahankan kerusi berkenaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Katanya, pasukan siber BN perlu diperkasakan lagi kerana kumpulan ini merupakan jentera utama dalam menentukan kejayaan kempen pilihan raya pada masa kini dan akan datang.
“Jika dahulu penguasaan media sosial sering dilihat sebagai kelemahan, kini perubahan itu sudah terbukti. Pemuda BN dan MCA sudah mampu mendominasi platform digital dengan cara yang sihat.
“Matlamat utama adalah untuk memastikan Johor kekal biru dan BN terus mentadbir dengan majoriti dua per tiga,” ujarnya.
Tambah Choo Seong, kemenangan penting demi meneruskan agenda pembangunan Kerajaan Negeri dan menjaga kebajikan seluruh Bangsa Johor,” katanya.
“Dengan tempoh kempen yang berbaki, jentera BN kini fokus sepenuhnya untuk mendekati pengundi-pengundi di DUN Layang-Layang melalui gabungan kempen fizikal dan media sosial bagi memastikan kemenangan parti,” katanya lagi.
Kerusi DUN N27 Layang-Layang menyaksikan pertembungan tiga penjuru selepas penyandangnya, Abd Mutalip Abd Rahim mengumumkan keluar UMNO untuk menyertai Bersatu bagi mempertahankan kerusi itu di bawah bendera Perikatan Nasional (PN).
Pada PRN ke-15 lalu, Abd Mutalip menang atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,815 undi. Untuk PRN Jophor ke-16 ini, Abd Mutalip akan ditentang oleh Chua Jian Boon (BN) dan Guna Balakrishnan (PH).
DUN Layang-Layang mempunyai seramai 25,181 pengundi berdaftar dan hari pengundian telah ditetapkan pada 11 Julai 2026. – MalaysiaGazette
















