Calon Pakatan Harapan N.24 Senggarang, Onn Abu Bakar bercakap pada Malaysia Gazette selepas Menyantuni penduduk sekitar Banang Jaya, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 28 JUN 2026.

BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar berjanji membuka Pusat Khidmat DUN Senggarang sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Langkah itu katanya, bagi memudahkan penduduk mendapatkan pelbagai bantuan tanpa perlu ke Bandar Penggaram.

Beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat, pusat khidmat sedia ada terletak di DUN Penggaram menyebabkan penduduk Senggarang dan Rengit terpaksa mengambil masa antara 25 hingga 40 minit untuk mendapatkan perkhidmatan.

“Sekiranya saya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, bilik gerakan PH di Taman Senggarang Jaya akan dijadikan Pusat Khidmat DUN Senggarang bagi memudahkan urusan permohonan bantuan, termasuk bantuan persekolahan dan kebajikan.

“Warga Senggarang tidak perlu lagi ke Penggaram untuk memohon bantuan kerana pusat khidmat akan berada di Senggarang sendiri.

“Begitu juga penduduk Rengit boleh mendapatkan perkhidmatan di sini sementara menunggu pembukaan pusat khidmat di Rengit sekiranya calon PH, Suraya Yaakob, turut memenangi kerusi DUN Rengit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan di pekan Senggarang, di sini, malam ini.

Onn berkata, hasrat bertanding di DUN Senggarang adalah bagi memperluaskan akses perkhidmatan kepada penduduk di kawasan Parlimen Batu Pahat yang merangkumi DUN Penggaram, Senggarang dan Rengit.

Beliau turut memaklumkan, sepanjang lebih tiga tahun menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat, pelbagai sumbangan telah disalurkan di kawasan Senggarang, termasuk RM20,000 kepada Masjid Senggarang, RM10,000 kepada Sekolah Kebangsaan Senggarang, RM20,000 kepada Tokong Cina Timur Parit Bakis serta RM90,000 untuk Parit Bakis.

Bagaimanapun beliau menegaskan, sebarang permohonan bantuan sepanjang tempoh berkempen perlu dibuat melalui Pusat Khidmat Parlimen Batu Pahat bagi mengelakkan timbul dakwaan menawarkan imbuhan yang boleh dikaitkan dengan pembelian undi.

Dalam pada itu, Onn mengakui beberapa kemudahan asas di Senggarang memerlukan perhatian segera termasuk kerja menaik taraf sistem perparitan, menceriakan kawasan pasar dan pekan Senggarang.

Beliau turut menyifatkan Batu Pahat, khususnya DUN Senggarang sebagai kawasan yang mempunyai hubungan antara kaum yang baik apabila masyarakat pelbagai kaum hidup dan bergaul secara harmoni. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast