ENDAU – Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Saiful Nizam Samat menuntut dua pengguna media sosial segera menurunkan semua kandungan yang didakwa memfitnah beliau kononnya menyogok pengundi.
Malah, beliau turut menuntut dua pengguna media sosial itu membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi rakaman video dan kenyataan bertulis atas penyebaran maklumat tidak berasas itu.
Tegasnya, sekiranya kandungan media sosial itu terus disiarkan tanpa pembetulan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mendapatkan nasihat undang-undang bagi melindungi nama baik serta integriti beliau dan pasukan kempennya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.
“Kami juga menyeru semua pihak supaya bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat dan tidak membuat tuduhan tanpa terlebih dahulu menyemak fakta serta kronologi sebenar.
“Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan dakwaan yang boleh mengelirukan orang ramai dan mencemarkan nama baik mana-mana pihak.
“Kami juga bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan bagi menjelaskan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Saiful Nizam merujuk kepada dakwaan yang dibuat pengguna media sosial di TikTok dan Threads yang seolah-olah menuduh beliau menyogok pengundi dengan pemberian wang atau sumbangan menerusi paparan gambarnya ketika bertemu penduduk.
Menjelaskan perkara itu, Saiful Nizam berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan jelas fitnah kerana sumbangan yang diberikan beliau seperti dikaitkan di dalam gambar serta video yang dipaparkan tersebut merupakan sumbangan kepada penerima e-Kasih.
Menurutnya, program sumbangan itu juga dibuat pada 26 Jun lalu, iaitu sehari sebelum hari penamaan calon dan diselesaikan sepenuhnya pada hari berkenaan.
“Hantaran tersebut dengan jelas menggunakan perkataan `semalam’ yang merujuk kepada aktiviti yang telah berlangsung pada 26 Jun, bukannya pada hari penamaan calon.
“Malah, pada waktu yang sama sekitar 7.30 pagi, saluran media sosial rasmi kami turut memuat naik rakaman video yang memaparkan perjalanan calon dan pasukan menuju ke pusat penamaan calon.
“Berdasarkan kronologi ini adalah tidak munasabah untuk mendakwa bahawa pada waktu tersebut masih berlaku penyampaian sumbangan e-Kasih,” katanya.
Tegas Saiful Nizam, pihaknya sentiasa menghormati segala peraturan dan undang-undang pilihan raya seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Kami memahami bahawa selepas penamaan calon terdapat peraturan yang perlu dipatuhi dan kami komited untuk memastikan setiap aktiviti dilaksanakan mengikut lundas undang-undang,” katanya.
Tambah Saiful Nizam, susulan itu juga, beliau telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing supaya siasatan dapat dijalankan mengikut lunas undang-undang. – MalaysiaGazette
















